MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA Aktiviti 8: Syor Suruhanjaya Siasatan Polis Tujuan: Aktiviti ini bertujuan membincangkan pendekatan yang sesuai untuk menambahbaik proses soal siasat Bahan: Kajian kes Tempoh masa: 30 Minit Kaedah pelaksanaan a. Bahagikan peserta kepada 5 atau 6 kumpulan. b. Setiap kumpulan diberikan kajian kes di bawah dan diminta untuk membincangkan kajian kes tersebut selama 10 minit. c. Selepas itu beberapa kumpulan diminta untuk berkongsi penyelesaian mereka terhadap kajian kes tersebut. Peserta lain digalakkan memberi komen atau soalan kepada pembentang. d. Tenaga pengajar menamatkan aktiviti dengan rumusan berkaitan prinsip-prinsip asas soal siasat OKT. Kajian kes: Syor Suruhanjaya Siasatan Polis Bayangkan di negara anda, satu pendedahan eksklusif telah dibuat oleh media di mana banyak kes pendakwaan di mahkamah adalah berdasarkan kepada keterangan atau bukti palsu. Ramai yang tidak bersalah telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Ini berlaku kerana pihak polis menggunakan teknik penyeksaan ke atas OKT dan paksaan ke atas saksi-saksi. Teknik berkenaan terpaksa digunakan kerana pasukan polis menghadapi kekurangan tenaga kerja dan kemahiran dari segi menemubual. Manakala sebarang dakwaan salah laku pegawai polis disiasat oleh rakan sekerja mereka sendiri atau secara dalaman tanpa pengetahuan orang awam. Kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk mengatasi kemarahan rakyat selepas mengetahui mengenai perkara tersebut. Suruhanjaya berkenaan telah mengemukakan syor-syor berikut: 1. Peguam hendaklah dibenarkan bersama anak guam mereka sepanjang sesi soal siasat oleh pegawai penyiasat. 2. Semua sesi soal siasat dirakam secara video dan rakaman tersebut boleh diperolehi untuk tujuan siasatan oleh mana-mana badan bebas dan kegunaan sebarang prosiding undang-undang. 3. Sebarang dakwaan salah laku pegawai penyiasat hendaklah disiasat oleh satu badan bebas dan pendakwaan akan dilakukan sekiranya dakwaan tersebut merupakan satu jenayah di bawah undang-undang. 80 

Select target paragraph3