MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA • Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di dalam laporan ‘Kematian Dalam Tahanan Polis: Satu Kajiselidik Mengenai Keadaan Lokap dan Faktor-faktor Penyumbang Kepada Kematian’ pada tahun 2016 telah mengenal pasti bahawa salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya kematian tahanan adalah pengabaian hak dan kebajikan anggota serta pegawai polis dari segi penyediaan kemudahan menjalankan kerja serta bebanan tugas. 2. Apakah cabaran kepada hak asasi manusia sebagai pegawai dan anggota polis? • Kemungkinan terdapat beberapa cabaran dalaman dan luaran bagi anggota dan pegawai polis menikmati hak asasi manusia dengan sewajarnya, antaranya: 1. Struktur dan budaya perkhidmatan pasukan polis - Pimpinan tertinggi pasukan polis bertanggungjawab untuk memastikan hak asasi manusia pegawai dan anggota polis terjamin. Walau bagaimanapun, kadang-kadang struktur dan budaya perkhidmatan polis juga memberi kesan kepada hak-hak sivil, ekonomi dan sosial pegawai dan anggota polis contohnya dari segi tempoh masa bekerja, keselamatan sosial, ketelusan dan penyertaan dalam proses membuat keputusan dan pengurusan sumber manusia, tanggungjawab pengurusan atau latihan dan pendidikan. Arahan sehala tanpa sebarang ruang perbincangan adalah antara contoh faktor yang boleh menyebabkan pelanggaran hak asasi dalam pasukan polis. 2. Pertembungan antara tanggungjawab dan hak asasi - Walaupun anggota dan pegawai polis mempunyai hak asasi kepada keselamatan diri, hak kepada waktu rehat yang mencukupi dan sebagainya, namun hak-hak tersebut adalah tidak sama sebagaimana orang awam lain apabila mereka menjalankan tugas. Contohnya, dalam keadaan tertentu anggota atau pegawai polis perlu menjalankan tugas yang sukar dan memerlukan mereka bertugas untuk satu tempoh yang lama daripada kebiasaan sehingga tugasan tersebut selesai. Begitu juga apabila menjalankan tugas berbahaya seperti mengawal rusuhan, anggota dan pegawai polis terpaksa membahayakan nyawa dan diri mereka semasa menjalankan tugasan tersebut, tidak seperti orang awam lain yang boleh mencari perlindungan apabila menghadapi keadaan berbahaya. 3. Persepsi orang awam apabila timbul tuduhan salah laku terhadap anggota atau pegawai polis. - Kadangkala timbul situasi di mana apabila tuduhan dikenakan kepada penguatkuasa, maka terdapat desakan daripada pihak-pihak tertentu seperti organisasi badan bukan kerajaan (NGO) dan liputan dari media massa serta orang awam supaya tindakan diambil dengan segera seolah-olah penguatkuasa berkenaan telah terbukti bersalah dan tidak mempunyai hak asasi seperti orang lain. Sekiranya terdapat dakwaan salah laku ke atas anggota atau pegawai polis, maka prosedur tatatertib dalam pasukan atau siasatan jenayah boleh dibuat. Walau bagaimanapun, anggota atau pegawai berkenaan masih mempunyai hak seperti hak untuk membela diri, hak untuk mendapatkan khidmat peguam dan perlu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. 32 

Select target paragraph3