MODUL HAK ASASI MANUSIA
UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA
dilahirkan bebas dan setara dengan martabat dan hak”. Ia melarang
diskriminasi berasaskan gender, bangsa, warna kulit, kewarganegaraan dan
sebagainya.
v. Hak asasi manusia merangkumi hak dan tanggungjawab (Rights and Obligations)
- Hak asasi manusia adalah milik dan tanggungjawab setiap individu. Negara
mempunyai tanggungjawab dan tugas tertentu di bawah undang-undang
antarabangsa untuk menghormati, melindungi dan mempromosi hak asasi
manusia.
6. Kategori Hak Asasi Manusia
• Hak asasi manusia boleh dibahagikan kepada dua kategori berikut:
i. Hak sivil dan politik: kebebasan bersuara, kebebasan bergerak, hak untuk
memilih kerajaan dan sebagainya.
ii. Hak ekonomi, sosial dan budaya: hak untuk bekerja, hak kepada pendidikan,
akses kepada perkhidmatan kesihatan dan lain-lain.
• Terdapat pihak yang mewujudkan satu lagi kategori hak asasi manusia dengan
mengambil kira isu semasa berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim iaitu Hak
Alam Sekitar dan Pembangunan. Walaupun hak ekonomi, sosial dan budaya
merangkumi hak kepada alam sekitar, namun ia tidak dapat memberikan
perlindungan dan keadilan yang sewajarnya kepada alam sekitar.
• Selain itu, ada yang membahagikan hak asasi manusia mengikut tiga generasi
iaitu:
i. Hak Asasi Manusia Generasi Pertama iaitu hak sivil dan politik
ii. Hak Asasi Manusia Generasi Kedua iaitu hak ekonomi, sosial dan budaya
iii. Hak Asasi Manusia Generasi Ketiga iaitu hak bersama atau kolektif
• Dalam senarai hak-hak tersebut, terdapat hak-hak yang mutlak (non-derogable)
seperti bebas dan dilindungi daripada penyeksaan; dan hak yang terbatas
(derogable) seperti kebebasan bergerak. Hak yang mutlak bermaksud hak
tersebut tidak boleh dibatasi walau dalam apa keadaaan sekalipun manakala
hak yang terbatas bermaksud hak tersebut boleh disekat mengikut proses
undang-undang yang sewajarnya seperti seseorang yang didapati bersalah
melalui proses perbicaraan di mahkamah yang adil boleh disekat kebebasannya
bergerak dengan menjalani hukuman pemenjaraan untuk tempoh tertentu.
9