MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA 2.67 Rumusan tepat apa yang telah dikatakan oleh orang yang ditemubual boleh memberikan kemajuan yang positif terhadap temubual dan membantu penemubual dan orang yang ditemubual mengingat semula butir-butir penting. Walau bagaimanapun, rumusan yang tidak disusun dengan baik boleh mencemarkan kenyataan orang yang ditemubual dan menyebabkan jangkaan yang berat sebelah atau ketidaktepatan. Orang yang ditemubual juga boleh menganggap rumusan yang tidak tepat sebagai tanda bahawa penemubual tidak mendengar atau cuba memanipulasikan pernyataan mereka. Menghadapi Keengganan 2.68 Penemubual mungkin berhadapan dengan orang yang keberatan untuk bercakap dan oleh itu patut sudah bersedia lebih awal bagi menangani situasi sedemikian. Tidak mahu atau tidak bersetuju untuk menjawab soalan mungkin merupakan pilihan yang disengajakan. Sebagai contohnya, suspek kes jenayah berhak untuk berdiam diri dan ada yang akan menggunakan hak ini. Keputusan ini hendaklah selalu dihormati dan tiada kaitan dengan hak anggapan tidak bersalah orang yang ditemubual. 2.69 Antara sebab orang yang ditemubual mungkin keberatan untuk bercakap termasuk kebimbangan dan ketidakpastian tentang proses, terutama jika orang itu tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegitu. Ketakutan juga boleh memainkan peranan; misalnya takut kepada polis atau pegawai kerajaan yang lain, atau takut ada akibat kepada mereka sendiri atau orang lain jika diketahui yang mereka bercakap dengan pihak berkuasa. Orang yang ditemubual juga mungkin terkesan secara psikologi dengan apa yang telah mereka saksikan, dengar atau alami. Keberatan untuk bercakap juga mungkin disebabkan reaksi peribadi mereka terhadap penemubual atau jurubahasa. 2.70 Tidak mustahil orang yang ditemubual sanggup memberikan maklumat tetapi tidak dapat berbuat demikian. Pertama-tamanya mungkin kerana mereka tidak mempunyai maklumat yang relevan, atau gagal mengenal pasti butiran. Mungkin kerana masa telah lama berlalu atau pengalaman yang dihadapi membuatkan mereka lupa butirbutir asal atau membuatkan mereka tidak berupaya mendapatkan kembali ingatan tersebut daripada memori. 2.71 Penemubual akan meningkatkan kebarangkalian temubual yang berkesan dengan menunjukkan kesedaran penuh hormat mengapa orang keberatan untuk bercakap, dengan memberi penjelasan bahawa sebarang maklumat yang diberikan akan dianggap sulit dan terhad kepada pihak yang dibenarkan undang-undang sahaja, dan menghormati sebarang keengganan berterusan untuk bercakap. Penemubual tidak patut membuat kesimpulan yang negatif daripada kegagalan atau keengganan orang yang ditemubual untuk menjawab soalan dan patut mengekalkan sikap tidak menghakimi apabila seseorang yang ditemubual mungkin akan membuat pengakuan terhadap jenayah atau memberikan maklumat yang memalukan. 144 

Select target paragraph3

Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents