MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA PERISYTIHARAN HAK ASASI MANUSIA SEJAGAT MUKADIMAH Bahawasanya pengiktirafan ke atas kemuliaan yang sedia wujud serta hak-hak yang saksama dan tak terpisah bagi seluruh umat manusia adalah asas kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia, Bahawasanya pengabaian serta penghinaan terhadap hak asasi manusia telah pun mengakibatkan tindakan-tindakan kejam yang telah mencabul hati nurani umat manusia, dan kemunculan sebuah dunia di mana manusia akan menikmati kebebasan bersuara dan menganut kepercayaan serta kebebasan dari perasaan takut dan keperluan hidup telah pun diisytiharkan sebagai inspirasi teragung bagi seluruh umat manusia, Bahawasanya adalah penting, jika manusia tidak mahu diletakkan dalam keadaan terdesak untuk bertindak, sebagai langkah terakhir, untuk memberontak menentang kezaliman serta penindasan, maka hak asasi manusia harus dipertahankan oleh undang-undang, Bahawasanya adalah penting untuk menggalakkan perkembangan hubungan baik di antara negara-negara, Bahawasanya rakyat Negara-Negara Anggota Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam Piagamnya menegaskan semula kepercayaan mereka terhadap hak asasi manusia, terhadap kemuliaan serta nilai diri manusia dan terhadap hak-hak saksama lelaki dan wanita dan telah beriltizam untuk memajukan perkembangan sosial dan taraf hidup yang lebih sempurna dalam suasana kebebasan yang lebih luas, Bahawasanya Negara-Negara Anggota telah berikrar untuk bersama-sama mencapai, dengan kerjasama Bangsa-Bangsa Bersatu, penyebaran rasa hormat yang sejagat terhadap serta pematuhan kepada, hak asasi manusia dan kebebasan asas. Bahawasanya satu kefahaman terhadap hak-hak serta kebebasan-kebebasan ini adalah amat penting sekali demi pencapaian sepenuhnya ikrar ini, MAKA DENGAN INI Perhimpunan Agung mengisytiharkan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat ini sebagai suatu ukuran bersama terhadap pencapaian oleh seluruh umat manusia dan kesemua negara, dengan tujuan supaya setiap individu dan setiap badan masyarakat, dengan senantiasa menyedari Perisytiharan ini akan berazam melalui pengajaran dan pendidikan bagi menggalakkan rasa hormat terhadap hak-hak dan kebebasan ini dan melalui langkah-langkah secara berperingkat, di tahap negara dan antarabangsa bagi menjamin pengiktirafan dan pematuhan hak-hak dan kebebasan-kebebasan ini yang sejagat serta berkesan, baik di kalangan sesama rakyat Negara-Negara Anggota dan juga di kalangan rakyat wilayah-wilayah di bawah bidang kuasa mereka. Artikel 1 Semua manusia dilahirkan bebas dan saksama dari segi kemuliaan dan hak-hak. Mereka dianugerahkan dengan fikiran serta hati nurani dan akan bertindak terhadap satu sama lain dengan semangat persaudaraan. 106 

Select target paragraph3

Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents