BAB 1 - LAPORAN KUMPULAN KERJA PENDIDIKAN DAN PROMOSI
Antara topik perbincangan adalah berkenaan hak asasi kanak-kanak dan wanita, hak kepada integriti
fizikal dan moral, hak kepada taraf hidup bersesuaian, hak kepada kesihatan, menjadikan pusat
tahanan dan penjara sebagai tempat yang selamat dan penggunaan terbaik pusat tahanan dan
penjara, kategori istimewa tahanan-tahanan termasuk tahanan kanak-kanak, wanita dan mereka
yang ditahan tanpa bicara. Aktiviti lakonan ‘role play’ dan perbincangan pelbagai kajian kes telah
digunakan sebagai kaedah penyampaian sewaktu latihan ini.
(c) Ceramah kepada Ahli RELA
Suruhanjaya telah mempertingkatkan fokus kepada ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA)
dalam program hak asasi manusianya. Suruhanjaya telah dijemput memberi ceramah berkenaan
isu-isu hak asasi manusia semasa program latihan kepada ahli RELA yang diadakan di pusat-pusat
latihan RELA di seluruh Malaysia. Selain itu, Suruhanjaya turut menganjurkan dua program latihan
kepada pelatih bagi pegawai kanan RELA.
Suruhanjaya yang telah menganjurkan program latihan hak asasi manusia kepada ahli RELA sejak
2007, turut memantau aduan terhadap anggotanya. Pada tahun 2008, sebanyak enam aduan telah
diterima Suruhanjaya. Dari tahun 2009 sehingga Ogos 2010, Suruhanjaya tidak menerima sebarang
aduan terhadap salah laku RELA yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia. Laporan tahunan
2009 SUARAM6 (Suara Rakyat Malaysia) turut melaporkan tidak menerima sebarang aduan terhadap
RELA.
Dua kemungkinan boleh dirungkaikan atas penurunan aduan. Pertama, mungkin disebabkan kejayaan
dan keberkesanan program kesedaran hak asasi manusia yang dianjurkan Suruhanjaya dan juga
peningkatan dalam Prosedur Operasi Standard RELA yang diperkenalkan. Kedua, RELA tidak lagi
menjalankan operasi dengan sendiri, tetapi membantu agensi-agensi lain seperti Jabatan Imigresen
dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Walau bagaimanapun, pemilihan dan kelayakan menjadi anggota RELA haruslah melalui proses yang
ketat dan pemeriksaan terhadap latar belakang calon adalah penting bagi memastikan mereka
benar-benar layak, lebih-lebih lagi apabila RELA mahu mencapai 2.5 juta anggota7 sebelum 2012,
yang terbuka kepada mereka yang berumur 16-40 tahun. Suruhanjaya mencadangkan bahawa
kursus perlantikan ahli RELA yang baru disemak semula dan kursus orientasi yang lebih lama dan
komprehensif diberikan kepada semua lantikan RELA yang baru, memandangkan latihan yang sedia
ada hanya untuk tujuh hari. Latihan yang lebih panjang dan menyeluruh haruslah diberi sebelum
seseorang diterima menjadi anggota.
6
7
Laporan SUARAM: Malaysia Human rights Report 2009: Civil Political Rights
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/8/4/mstar_berita/20100804113819&sec=mstar_berita
35