BAB 1 - LAPORAN KUMPULAN KERJA PENDIDIKAN DAN PROMOSI
3. HAK ASASI WANITA
EWG telah menghasilkan laporan Status Hak Asasi Wanita di Malaysia, yang mengumpulkan
hasil perbincangan dan pelbagai program yang telah dijalankan tentang wanita dan hak kepada
pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Laporan ini juga menyentuh isu pemerdagangan wanita,
gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja dan hak wanita kekurangan peluang merangkumi
hak wanita kelainan upaya, hak wanita Orang Asli dan juga hak wanita pekerja asing di Malaysia.
Laporan ini menyarankan penggubalan undang-undang untuk memberi kesan kepada Konvensyen
Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
EWG berhasrat untuk terus menyediakan latihan kepada Pegawai Khas Gender (GFP). Pada tahun
sebelumnya, latihan telah dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat (KPWKM). Walau bagaimanapun, Suruhanjaya tidak dapat menjalankan latihan
tersebut pada tahun ini disebabkan beberapa masalah dalaman GFP.
4. LATIHAN HAK ASASI MANUSIA KEPADA AGENSIAGENSI PENGUATKUASAAN
(a) Latihan untuk Pasukan Polis diRaja Malaysia
Program berterusan ini melibatkan 149 orang Ketua Polis Balai (OCS) dari seluruh Kelantan,
Terengganu dan Pahang sepanjang bulan Mei hingga Oktober. Wakil dari beberapa organisasi hak
asasi manusia telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja yang berkisarkan hak asasi manusia,
yang bertemakan polisi dan tanggungjawab seharian seorang OCS. Para peserta turut diminta untuk
mendalami isu-isu yang terdapat dalam kajian kes yang diberi, seperti isu dan prosedur yang terlibat
dalam menguruskan kematian dalam tahanan, perintah reman, keganasan domestik, keganasan
terhadap kanak-kanak, kebebasan untuk berkumpul dan proses soal-jawab. Isu hak asasi manusia
yang turut dibincangkan sepanjang bengkel tersebut meliputi hak sewaktu penangkapan dan
penahanan, hak sebagai pegawai polis dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai polis.
Bengkel tersebut memberi perhatian kepada pendirian Suruhanjaya berkenaan proses penyiasatan.
Peserta diingatkan bahawa polis tidak berhak menahan seseorang tanpa bicara kerana ini
adalah bertentangan dengan standard hak asasi manusia antarabangsa, dan juga bertentangan
dengan prinsip asas hak asasi manusia. Berdasarkan aduan yang diterima, undang-undang yang
membenarkan penahanan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dan Ordinan
Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 (EO) memberi ruang untuk pelanggaran
hak asasi manusia yang berleluasa. Suruhanjaya percaya bahawa setiap manusia mempunyai hak
untuk dibicarakan di mahkamah.
31