ISU-ISU UTAMA Suruhanjaya dengan tegasnya mengulangi pendirian bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyertai perhimpunan aman sebagaimana dijamin Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan berhimpun juga dijamin di bawah Artikel 20(1) UDHR. 3. KEBEBASAN BERSUARA DAN MAKLUMAT Kebebasan bersuara termaktub dalam UDHR dan mewakili nilai demokrasi yang penting. Walau bagaimanapun, penggunaan pelbagai undang-undang arbitrari seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah menyebabkan pengharaman sesetengah penerbitan tertentu di Malaysia. Penggantungan atau pembatalan lesen penerbitan kononnya untuk mengekalkan ketenteraman sosial telah menyekat kebebasan bersuara dan maklumat. Suruhanjaya terus menyeru supaya Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 UDHR dihormati. Artikel 19 UDHR menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak kepada kebebasan berpendapat dan bersuara, termasuk kebebasan memberi pendapat tanpa sekatan dan untuk memperoleh, menerima dan menyebarkan maklumat dan idea melalui media, tanpa sempadan. Suruhanjaya mengesyorkan pembentukan majlis media yang bebas untuk membolehkan media mengawal selia sendiri, menyelesaikan pertikaian atau aduan dan memantau pematuhan kod etika profesional industri. 4. KEBEBASAN BERAGAMA – ISU-ISU PENUKARAN AGAMA Pada bulan Oktober 2009, Suruhanjaya telah menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja yang mengetengahkan isu-isu penukaran agama oleh pasangan dalam sesebuah perkahwinan yang menimbulkan masalah-masalah lain termasuk hak penjagaan dan nafkah anak. Ini berpunca daripada ketiadaan peruntukan dalam menangani isu-isu seumpama ini dalam enakmen pentadbiran undangundang Islam sesetengah negeri dan Akta Wilayah Persekutuan. Oleh itu, dalam representasi yang dibuat kepada Majlis Raja-Raja, Suruhanjaya menyeru agar pentadbiran undang-undang Syariah dan Wilayah Persekutuan diseragamkan dan satu prosedur yang jelas berkenaan kes-kes penukaran agama diperuntukkan. Pada bulan November, Suruhanjaya telah menghantar sepucuk surat kepada Jabatan Peguam Negara sebagai tindakan susulan berhubung perkara tersebut. Pada bulan Disember, Suruhanjaya telah menerima maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa Jabatan berkenaan sedang berusaha meminda beberapa undang-undang berkaitan, bagi menyelesaikan masalah tersebut. 14

Select target paragraph3