RINGKASAN EKSEKUTIF
Suruhanjaya sedang berusaha untuk menjalin hubungan dengan Suruhanjaya Antara-Kerajaan ASEAN
mengenai Hak Asasi Manusia yang baru terbentuk dengan tujuan membina satu hubungan kerjasama
yang baik demi mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di wilayah ASEAN.
LAPORAN JAWATANKUASA HAK ORANG ASAL/ASLI
Menyedari perlunya satu usaha bersama bagi menangani isu-isu yang menjejaskan hak Orang Asal/
Asli di Malaysia, Suruhanjaya memutuskan untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Hak Orang Asal/
Asli (IPRC). Suruhanjaya iaitu melalui IPRC, memfokuskan pada isu-isu yang dihadapi oleh Orang Asli
di Semenanjung dan Orang Asal di Sabah dan Sarawak. Sebagai permulaan, Suruhanjaya merancang
untuk menumpukan kepada isu hak tanah adat dan sistem perundangan, pendidikan, ekonomi dan
kesihatan Orang Asal/Asli, sebelum meneruskan dengan isu-isu lain termasuk hak sosial, kebudayaan,
keagamaan dan politik.
LAPORAN JAWATANKUASA INKUIRI NASIONAL
Tahun 2010 menunjukkan satu perkembangan positif bagi Suruhanjaya apabila ia memutuskan
untuk mengadakan Inkuiri Nasional buat julung kalinya. Sehubungan itu, Suruhanjaya menubuhkan
Jawatankuasa Inkuiri Nasional yang bertanggungjawab melaksanakan semua tindakan yang
bersesuaian bagi merealisasikan inkuiri nasional yang efektif dan berjaya.
Inkuiri Nasional merupakan satu mekanisme bagi mencapai mandat Suruhanjaya untuk melihat isu
hak asasi manusia yang sistemik dan menyelesaikannya menerusi pendekatan sistematik. Suruhanjaya
telah memutuskan Inkuiri Nasional yang pertama ini menumpukan kepada hak tanah Orang Asal/
Asli. Suruhanjaya bersetuju penglibatan kesemua pihak berkepentingan yang relevan adalah penting
bagi memacu kejayaan sesebuah inkuiri nasional. Inkuiri ini dijadualkan bermula pada Januari 2011
dan berakhir pada Jun 2012.
LAPORAN PEJABAT SABAH
Pejabat Suruhanjaya di Sabah terus menerima dan menyiasat aduan yang kebanyakannya berkisar
mengenai pencabulan hak ke atas tanah Orang Asal dan kewarganegaraan. Malah, Pejabat Sabah
juga mengadakan aktiviti promosi bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai hak asasi
manusia. Selain itu, bengkel dan seminar turut diadakan mengenai pelbagai isu yang menjejaskan
hak Orang Asal.
11