RINGKASAN EKSEKUTIF Malaysia masih belum menjadi ahli Konvensyen Berkenaan Status Orang Pelarian. Suruhanjaya sedang dalam proses meneliti Konvensyen tersebut dalam usaha mengesyorkan Kerajaan meratifikasikannya. Suruhanjaya juga telah memulakan kajian berhubung isu-isu yang menjejaskan hak golongan lesbian, gay, bi-seksual dan transgender (LGBT). Menyedari bahawa amat penting bagi Suruhanjaya menghadiri kes-kes mahkamah yang berkaitan dengan isu hak asasi manusia, Suruhanjaya sedang meneliti cara terbaik untuk memainkan peranan sebagai amicus curiae dalam kes-kes tersebut. LAPORAN KUMPULAN KERJA HAK EKONOMI, SOSIAL DAN KEBUDAYAAN Kumpulan Kerja Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ECOSOCWG) terus bekerjasama dengan Kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO), dan organisasi masyarakat sivil bagi menangani pelbagai isu hak ekonomi, sosial dan kebudayaan (ESCR) di Malaysia. Antara aktiviti yang telah dianjurkan ialah perbincangan meja bulat mengenai hak asasi manusia, kebebasan beragama, hak kaum wanita Penan berkenaan dakwaan perkosaan, pemerdagangan orang, dan hak asasi manusia dan perniagaan. Suruhanjaya iaitu melalui ECOSOCWG telah mengaturkan beberapa mesyuarat bersama agensi Kerajaan dan NGO bagi membina jalinan kerja yang baik. LAPORAN JAWATANKUASA ISU DAN KERJASAMA ANTARABANGSA Suruhanjaya telah memainkan beberapa peranan utama dalam usahanya meningkatkan interaksi dengan jentera hak asasi manusia di peringkat serantau dan antarabangsa. Di peringkat antarabangsa, Suruhanjaya giat menyertai aktiviti dan mesyuarat yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Koordinasi Antarabangsa untuk Institusi-Institusi Nasional dalam Kemajuan dan Perlindungan Hak Asasi Manusia (ICC). Di ICC, perbincangan banyak ditumpukan pada status akreditasi Suruhanjaya. Ini telah menjurus ke arah pindaan Akta Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 bagi memenuhi Prinsip Paris sebagaimana yang ditafsirkan oleh ICC. Susulan daripada pindaan tersebut, Suruhanjaya kini memperolehi status “A”. Di peringkat serantau, Suruhanjaya merupakan ahli Forum Institusi-institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF), dan merupakan tuan rumah kepada Mesyuarat Tahunan SEANF Ke-7 pada 15-16 November. Sebagai ahli kepada Forum Asia Pasifik (APF), Suruhanjaya telah menyertai banyak aktiviti berkenaan kemajuan hak asasi manusia di rantau ini. 10

Select target paragraph3