RINGKASAN EKSEKUTIF Suruhanjaya turut mempromosi hak-hak wanita melalui penerbitan laporan Status Hak Asasi Wanita di Malaysia yang mengetengahkan isu-isu mengenai wanita, antara lainnya, akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan, pemerdagangan orang dan gangguan seksual. Menyedari pegawai penguatkuasa undang-undang juga berkemungkinan adalah pencabul hak asasi manusia, EWG telah menjalankan latihan hak asasi manusia kepada pegawai penguatkuasa undang-undang mengenai prinsip dan standard hak asasi manusia. Latihan dijalankan untuk pasukan polis, pegawai penjara dan RELA. Semasa latihan, para pegawai didedahkan kepada pelbagai instrumen hak asasi manusia antarabangsa dan bagaimana instrumen ini relevan dengan tugasan harian mereka. LAPORAN KUMPULAN KERJA ADUAN DAN SIASATAN Salah satu fungsi Suruhanjaya ialah menyiasat aduan-aduan yang diterima mengenai dakwaan pencabulan hak asasi manusia. Suruhanjaya merekodkan corak kes yang berbeza di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung, kebanyakan aduan yang diterima adalah mengenai pihak penguatkuasa undang-undang, terutamanya polis. Sementara itu, di Sabah dan Sarawak, kebanyakan aduan adalah mengenai dakwaan pencerobohan hak ke atas tanah Orang Asal. Malah, Sabah mencatatkan jumlah aduan tertinggi mengenai hak ke atas tanah Orang Asal. Selain itu, aduan mengenai pencabulan ke atas kebebasan berhimpun, kebebasan beragama dan kebebasan bersuara dan berpendapat, serta aduan penggunaan undang-undang penahanan arbitrari masih berterusan. Sehubungan itu, Suruhanjaya telah mengambil inisiatif memantau perhimpunan aman dan proses pilihan raya. LAPORAN KUMPULAN KERJA PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG DAN TRITI ANTARABANGSA Dalam menjalankan fungsinya untuk mengesyorkan penyertaan dan/atau pengesahan instrumen hak asasi antarabangsa dan untuk memastikan undang-undang negara konsisten dengan instrumen antarabangsa yang digunapakai, Suruhanjaya iaitu melalui Kumpulan Kerja Pembaharuan UndangUndang dan Triti Antarabangsa (LRITWG) telah menjalankan kajian dan penyelidikan yang bersesuaian. Pada tahun ini, Suruhanjaya memfokuskan kepada pemantauan pelaksanaan tanggungjawab Kerajaan terhadap tiga Konvensyen utama yang telah diratifikasi oleh Malaysia, iaitu Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD). Berkenaan dengan dua Konvensyen, iaitu CEDAW dan CRC, Suruhanjaya menggesa Kerajaan supaya mempertimbangkan penarikan balik reservasi mereka dan juga supaya meratifikasi Protokol Pilihan Konvensyen tersebut. 9

Select target paragraph3