RINGKASAN EKSEKUTIF RINGKASAN EKSEKUTIF Dengan keanggotaan baru yang mengambil alih tugas pada April 2010, Suruhanjaya sehingga kini terus komited dalam merealisasikan rasa hormat terhadap hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti promosi dan perlindungannya. Suruhanjaya mengulangi pendiriannya menyeru agar dimansuhkan kesemua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara. Undang-undang tersebut bercanggah dengan prinsip teras hak asasi manusia sejagat yang memerlukan seseorang individu didakwa di mahkamah sekiranya disyaki melakukan kesalahan. Suruhanjaya turut menekankan kepentingan menghormati hak kepada kebebasan berhimpun secara aman. Suruhanjaya berpandangan bahawa perhimpunan aman tanpa permit di bawah Seksyen 27A Akta Polis 1967 wajar dihapuskan. Kebebasan media adalah penting dalam memastikan kebebasan bersuara dan bermaklumat diamalkan. Suruhanjaya menyeru agar undang-undang dan peraturan yang menyekat kebebasan media di Malaysia dihapuskan dan berpendapat bahawa media perlu mengamalkan kawalan-selia sendiri. Bagi mencapai maksud tersebut, Suruhanjaya mengesyorkan pembentukan majlis media yang bebas. Menyedari isu penukaran agama pasangan berkahwin kepada Islam mungkin mengakibatkan pertikaian hak penjagaan dan nafkah anak, dan pertikaian tersebut mungkin diburukkan lagi oleh undang-undang Syariah yang tidak konsisten antara negeri-negeri di Malaysia, Suruhanjaya telah mengemukakan memorandum kepada Majlis Raja-Raja mencadangkan agar undang-undang Syariah di Malaysia diseragamkan. Tahun ini menyaksikan kesungguhan Kerajaan dalam membanteras pemerdagangan orang. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya bimbang akan hakikat bahawa hal penyeludupan migran dimasukkan ke dalam Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007, yang mungkin boleh mendatangkan kesan buruk terhadap mangsa pemerdagangan orang yang sebenar. Suruhanjaya terus menerima aduan terhadap pegawai penguatkuasa undang-undang, terutamanya polis mengenai pelbagai isu termasuk dakwaan pihak polis tidak menyiasat laporan yang dibuat, kekasaran polis semasa soal siasat, penyalahgunaan kuasa semasa prosedur reman dan melepaskan tembakan secara rambang. 7

Select target paragraph3