SUHAKAM LAPORAN EKSEKUTIF 1.0 Permasalahan Kajian Berdasarkan pengalaman bekerja dengan Orang Asli, SUHAKAM mendapati masyarakat Orang Asli menghadapi masalah mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Di sesetengah tempat, SUHAKAM mendapati kanak-kanak Orang Asli tidak bersekolah langsung. Malah, ramai di antara mereka yang tidak menamatkan persekolahan. Terdapat pelbagai faktor dan sebab yang menyumbang kepada masalah pendidikan ini. Antaranya adalah penempatan mereka yang jauh di pedalaman, tiada kemudahan bersekolah, kemiskinan tegar, sikap ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak dan ketidakprihatinan agensi-agensi berkaitan dalam menangani isu-isu pendidikan kanakkanak tidak bersekolah langsung. 2.0 Tujuan Kajian Oleh itu, laporan ini bertujuan untuk melihat permasalahan mengenai isu persekolahan kanak-kanak Orang Asli dan hak mereka terhadap pendidikan. Laporan ini akan meninjau hak pendidikan yang termaktub dalam perundangan negara dan juga di peringkat antarabangsa. Seterusnya, laporan ini akan memberi gambaran terhadap peranan dan usaha yang diambil oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia dan JHEOA dalam menangani masalah pendidikan Orang Asli. Selain itu, laporan ini akan menggariskan program-program yang telah dijalankan oleh SUHAKAM berkaitan dengan hak pendidikan Orang Asli sejak penubuhannya pada tahun 2000. Di akhir laporan, SUHAKAM mengemukakan syornya supaya pihak yang berkenaan dapat mengambil langkah sewajarnya dalam mengatasi atau mengurangkan masalah yang berkaitan dengan hak pendidikan untuk Orang Asli. SUHAKAM berharap satu perbincangan dengan semua pihak yang terbabit dapat diadakan dan satu pelan tindakan yang komprehensif dapat dibentuk dalam usaha menangani masalah ini. 3.0 Masalah Yang Dihadapi Oleh Murid Sekolah Kanak-Kanak Orang Asli 3.1 Pengangkutan ke Sekolah Ibu bapa menyatakan antara punca anak-anak mereka tidak ke sekolah ialah kerana masalah pengangkutan dan ketiadaan jalan penghubung ke kampung mereka. Selain itu, kenderaan yang disediakan adalah usang dan kerap rosak. i

Select target paragraph3