SUHAKAM 4.0 Pengenalan Pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli telah mendapat perhatian agensi Kerajaan. Justeru, agensi-agensi Kerajaan telah berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli. Pihak Kerajaan juga menyediakan beberapa kemudahan dan bantuan untuk kanak-kanak Orang Asli. Bagi tujuan laporan ini, tumpuan diberi pada peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi berikut: i. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM); ii. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA); iii. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); dan iv. Jabatan Kesihatan. 4.1 Peranan dan Usaha Kementerian Pelajaran Malaysia Pembangunan pendidikan di negara ini pada peringkat awalnya lebih tertumpu kepada pembinaan sekolah di bandar-bandar. Peluang menikmati pendidikan bagi penduduk luar bandar dan pedalaman kurang diberi perhatian. Akibatnya, wujud ketidaksamarataan dan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar serta di antara masyarakat arus perdana dan masyarakat minoriti. Menyedari keadaan ini, KPM telah mengambil pelbagai langkah untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar. Sebagai langkah permulaan, KPM telah mengambil alih pengurusan kesemua sekolah-sekolah yang diuruskan oleh JHEOA pada tahun 1996. Langkahlangkah seterusnya adalah seperti berikut: i. Menguatkuasakan Pendidikan Wajib dan Percuma pada tahun 2003. Akta Pelajaran 1996 telah dipinda supaya pendidikan sekolah rendah adalah wajib dan semua kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 6-12 tahun harus berada di sekolah seperti yang telah dibincangkan dalam Bab 2. ii. Meningkatkan Kadar Penyertaan dan Mengurangkan Keciciran Pihak KPM menekankan penguasaan 3M (Menulis, Membaca, Mengira), Program KIA2M (Kelas Intervensi Awal Menulis dan Membaca) dan Program PKMOA (Program Khas Murid Orang Asli). Ia bertujuan untuk meningkatkan kemahiran 3M murid Orang Asli yang tidak melepasi markah 30% dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik pada Tahun 2. Bagi murid yang tidak melepasi markah 30% pada Tahun 2, mereka akan memasuki kelas pemulihan untuk selama satu tahun. Murid-murid ini dibenarkan berada di sekolah rendah dengan tambahan 1 tahun, menjadi 7 tahun. Pada tahun 2007, Jemaah Nazir Sekolah telah memantau program Kelas Intervasi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) di 90 buah sekolah daripada 93 buah sekolah 100% murid Orang Asli. Bilangan keseluruhan murid Tahun 1 di sekolah-sekolah ini pada tahun 2007 ialah seramai 4,776. Seramai 1,436 murid Tahun 1 telah ditapis dan didapati seramai 389 orang murid telah menguasai kemahiran 2M, sementara seramai 1,047 orang murid belum menguasai kemahiran 2M. Mereka ini akan mengikuti Program Pemulihan di Tahun 2 pada tahun 2008. 29

Select target paragraph3