SUHAKAM 1.0 Tujuan Laporan Laporan ini bertujuan untuk melihat permasalahan mengenai isu persekolahan kanakkanak Orang Asli dan hak mereka terhadap pendidikan. Laporan ini akan meninjau hak pendidikan yang termaktub dalam perundangan negara dan juga di peringkat antarabangsa. Selain itu, laporan ini akan menggariskan program-program yang telah dijalankan oleh SUHAKAM berkaitan dengan hak pendidikan Orang Asli sejak penubuhannya pada tahun 2000. Seterusnya, laporan ini akan memberi gambaran terhadap peranan dan usaha yang diambil oleh agensi Kerajaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dalam menangani masalah pendidikan Orang Asli. Di akhir laporan ini, SUHAKAM akan cuba untuk menyenaraikan masalah-masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli berhubung isu pendidikan. Berdasarkan ini, SUHAKAM telah membuat perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan mengemukakan syor atau cadangan untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan pendidikan Orang Asli. Syor dan cadangan SUHAKAM ini kebanyakannya ditujukan kepada agensi kerajaan dan masyarakat Orang Asli itu sendiri. SUHAKAM berharap satu perbincangan susulan yang lebih mantap dapat diadakan untuk meneliti semua syor diberikan serta merancang perlaksanaan syor tersebut. 1.1 Permasalahan Kajian Maklumat dan data yang diperolehi oleh SUHAKAM melalui lawatan-lawatan ke kampung Orang Asli, program dan perbincangan dengan Orang Asli, dialog bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta perbincangan dengan agensi Kerajaan menunjukkan bahawa isu pendidikan seperti keciciran dan bilangan kanak-kanak tidak bersekolah masih menjadi salah satu masalah utama. Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan pendidikan sekolah rendah sebagai wajib, masih tidak banyak perubahan dari segi kehadiran di kalangan kanak-kanak Orang Asli. Selain itu, penguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) di kalangan murid-murid ini juga dimaklumkan tidak memberangsangkan. Oleh itu, SUHAKAM berpendapat adalah perlu untuk mengetahui secara mendalam punca dan sebab masalah ini berlaku. 3

Select target paragraph3