ISU-ISU UTAMA
13. PELAN TINDAKAN HAK ASASI MANUSIA NASIONAL
(NHRAP)
Suruhanjaya berpuas hati dengan langkah-langkah positif yang diambil oleh Kerajaan dalam merangka
Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP) bagi menambahbaik promosi dan perlindungan
hak asasi manusia. Suruhanjaya akan memainkan peranan yang penting dalam merangka NHRAP
serta memantau pelaksanaannya. Ciri-ciri NHRAP yang berkesan adalah penyertaan dan perancangan
yang telus, penelitian tentang hak yang realistik dan perancangan berorientasikan-tindakan, kriteria
kejayaan yang jelas, mekanisme pemantauan dan penilaian yang kukuh serta komitmen sumber
yang mendalam.
Suruhanjaya menghargai inisiatif Kerajaan yang terlibat di peringkat persediaan dan berharap
hubungan ini dapat diperkukuhkan melalui rundingan dan penglibatan secara kerap. Suruhanjaya akan
bekerjasama rapat dengan agensi fokal untuk NHRAP, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan
Perdana Menteri. Suruhanjaya berharap agar Kerajaan mempertimbangkan untuk menerimapakai
cadangan yang diperoleh daripada UPR dan sesi badan-badan triti mengenai Malaysia ke NHRAP.
14. PERBAHASAN LAPORAN TAHUNAN SURUHANJAYA
DI PARLIMEN
Sejak penubuhannya, Suruhanjaya telah mengemukakan Laporan Tahunan ke Parlimen pada
mesyuarat pertama setiap tahun seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 21(1), Akta Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia Malaysia 1999. Malangnya, sehingga kini tiada satu pun Laporan Tahunan Suruhanjaya
pernah dibahaskan. Suruhanjaya menggesa agar Ahli-ahli Parlimen mengambil isu-isu penting
hak asasi manusia daripada Laporan Tahunan dan menyokong sepenuh syor-syor yang terdapat di
dalamnya pada setiap peluang yang ada semasa sesi perbahasan.
Suruhanjaya seterusnya menggesa Kerajaan mempertimbangkan penubuhan Jawatankuasa Pemilih
Parlimen untuk mengkaji perkara-perkara berkaitan hak asasi manusia sebagai langkah tambahan
dalam menegakkan hak rakyat dan mengukuhkan demokrasi berparlimen.
22