ISU-ISU UTAMA
6. AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI 1971 (AUKU)
Walaupun Suruhanjaya mengalu-alukan langkah Kerajaan untuk meminda Seksyen 15, AUKU, ia
juga mencadangkan agar peruntukan-peruntukan lain perlu dikaji semula bagi membolehkan pelajar
universiti menikmati kebebasan dan hak mereka seperti dijamin dalam Perkara 10(1) Perlembagaan
Persekutuan dan Perkara19 hingga 21 di bawah UDHR.
Secara khusus, Suruhanjaya mengesyorkan pindaan kepada Seksyen-seksyen 15(5)(a), 5D(1), 16C(2)
dan 16B(3B). Peruntukan-peruntukan ini melanggar kebebasan untuk berpersatuan, kebebasan
untuk bersuara, hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, hak untuk memilih sendiri peguam
dan hak untuk mendapatkan pendidikan.
Suruhanjaya menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 15(5)
(a) AUKU sebagai tidak mengikut perlembagaan dan melanggar kebebasan bersuara. Suruhanjaya
menggesa Kerajaan mempertimbangkan semula rancangannya untuk merayu keputusan tersebut.
7. PERANAN SURUHANJAYA DI MAHKAMAH
Suruhanjaya telah bertindak sebagai peguam pemerhati dalam dua kes mahkamah, Low Swee Siong
lwn Tan Siew Siew mengenai hak kanak-kanak dan Noorfadilla binti Saikin lwn Chayed bin Basirun
dan 5 yang lain yang melibatkan hak wanita. Suruhanjaya menghantar penghujahannya kepada
Mahkamah berkenaan berdasarkan CRC dan CEDAW. Ia berharap dapat terus terlibat dalam keskes mahkamah yang melibatkan hak asasi manusia. Suruhanjaya juga sedang melangkah ke arah
mempromosi hak asasi manusia kepada badan kehakiman dan percaya bahawa hakim mempunyai
peranan penting dalam menegakkan dan melindungi hak tersebut.
8. HUKUMAN MATI
Usaha-usaha Suruhanjaya untuk mengukuhkan saranannya agar hukuman mati dimansuhkan
termasuklah penganjuran satu seminar awam bersama delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan
Majlis Peguam, mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen dan mewujudkan kesedaran
melalui temu bual media.
Sementara menunggu keputusan tersebut, Suruhanjaya mencadangkan agar Kerajaan
mempertimbangkan penangguhan ke atas hukuman mati atau penjara seumur hidup, terutamanya
bagi mereka yang telah dikenakan hukuman mati selama lebih daripada lima tahun. Di samping itu,
Suruhanjaya menyeru agar Kerajaan mempertimbangkan untuk menggunapakai Peraturan Piawaian
Minima Antarabangsa bagi Banduan untuk memastikan kesejahteraan banduan yang dikenakan
hukuman mati diambil kira sama seperti banduan lain.
19