RINGKASAN EKSEKUTIF
LAPORAN PEJABAT SABAH
Secara praktikalnya, perlindungan hak asasi manusia di Sabah berkisar pada siasatan aduan dan
pendidikan pihak yang berkepentingan. Sehingga kini, Pejabat Suruhanjaya di Kota Kinabalu telah
meneliti 250 aduan yang diterima sepanjang tahun.
Suruhanjaya juga menganjurkan ceramah dan dialog, lima sesi Forum dan Latihan mengenai Sistem
Perundangan Orang Asal, dan mengendalikan kerja lapangan berkenaan dengan proses Inkuiri
Nasional di Sabah.
LAPORAN PEJABAT SARAWAK
Selain menangani aduan dan menjalankan siasatan lapangan, Suruhanjaya telah menjalankan lapan
ceramah mengenai hak asasi manusia dengan bantuan agensi lain dalam usaha meningkatkan
kesedaran hak asasi manusia. Selain itu, bantuan turut diberikan semasa menjalankan proses
konsultasi awam Inkuiri Nasional di Sarawak.
LAPORAN SIASATAN AWAM
Sebagai tindak balas kepada beberapa memorandum yang diterima, Suruhanjaya telah memulakan
Siasatan Awam pada bulan Oktober ke atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh pihak
berkuasa sebelum dan semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai, sebagai sokongan ke arah
reformasi pilihan raya yang adil dan bersih.
Ahli Panel Siasatan terdiri daripada Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee (Pengerusi), Prof Dato’ Dr Mahmood
Zuhdi Hj Ab Majid dan Encik Detta Samen.
Sehingga 31 Disember, tujuh pendengaran telah diadakan dan 16 saksi telah memberi keterangan di
hadapan Panel Siasatan, yang turut menjalankan lawatan lapangan ke Hospital Tung Shin dan Jalan
Travers di Kuala Lumpur. Siasatan Awam ini dijadualkan akan berakhir pada tahun 2012.
LAPORAN JAWATANKUASA INKUIRI NASIONAL
Aduan berterusan oleh Orang Asal/Asli mengenai pelanggaran hak-hak mereka terhadap tanah adat
memerlukan pemeriksaan menyeluruh ke atas punca penyebabnya. Oleh itu, Suruhanjaya menjalankan
Inkuiri Nasional pertamanya ke atas hak-hak tanah Orang Asal/Asli. Isu-isu kritikal dijangka akan
dibangkitkan, dan akan dikaji semula terhadap standard hak asasi manusia antarabangsa dan
komitmen yang bertujuan untuk mengembalikan hak tanah Orang Asal/Asli.
11