PERUTUSAN PENGERUSI
Pendekatan yang lebih fokus dan jelas mengenai isu-isu hak asasi di kalangan penggubal undangundang bukan sahaja menguntungkan pengundi, dengan peluang yang lebih untuk membincangkan
permasalahan hak-hak mereka, tetapi juga akan mengukuhkan demokrasi berparlimen. Ini kerana,
dalam demokrasi yang makin berkembang, dasar dan undang-undang yang digubal untuk kepentingan
negara bukan sahaja mesti mematuhi peruntukan-peruntukan perlembagaan negara, tetapi juga prinsip
dan norma-norma sejagat yang dipersetujui negara sebagai anggota komuniti antarabangsa.
Dengan tempoh melebihi separuh daripada perkhidmatan mereka, anggota Suruhanjaya kini berupaya
menilai keadaan hak asasi manusia di negara ini dengan lebih baik. Setelah mengalami dan memerhati
sendiri situasi hak asasi manusia sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota Suruhanjaya, mereka
berpendapat bahawa walaupun terdapat kemajuan yang telah dicapai dari segi hak asasi manusia masih banyak lagi ruang untuk penambahbaikan, antara lain, kebebasan berhimpun secara aman,
kebebasan bersuara, serta kebebasan beragama.
Negara juga perlu meratifikasi atau menyertai enam daripada sembilan instrumen teras hak asasi
manusia antarabangsa, dan untuk menarik balik reservasi yang telah dibuat terhadap tiga instrumen
yang telah disahkan. Suruhanjaya juga berpendapat bahawa Kerajaan harus mula menangani isuisu berkaitan pekerja migran, orang pelarian, pencari suaka, mangsa pemerdagangan orang dan
sebagainya dengan lebih serius lagi membina, memandangkan masalah ini telah lama berlarutan.
Malah, sebagai anggota komuniti masyarakat antarabangsa yang semakin berpengaruh, Malaysia
harus serius mempertimbangkan untuk meratifikasi atau menerimapakai instrumen antarabangsa
yang berkaitan, seperti yang telah dilaksanakan oleh negara-negara lain, dan memainkan peranannya
sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab.
Suruhanjaya percaya bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam penerapan nilai-nilai
dan kesedaran hak asasi manusia, dan ianya harus bermula ketika di awal usia kanak-kanak, di rumah
mahupun sekolah. Oleh itu, ibu bapa dan guru mempunyai peranan penting dalam menerapkan
nilai-nilai ini. Sebaik sahaja dewasa dan memainkan peranan mereka sebagai warganegara Malaysia
yang bertanggungjawab, nilai-nilai hak asasi manusia telah diintegrasikan ke dalam personaliti
mereka. Dengan cara ini, latihan hak asasi manusia di tempat kerja sebahagian besarnya adalah
untuk mengukuhkan nilai-nilai yang telah tertanam dalam diri mereka.
Di peringkat antarabangsa, walaupun Suruhanjaya berupaya mengekalkan status ‘A’, khususnya
dalam Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa Institusi Hak Asasi Manusia Nasional bagi Promosi
dan Perlindungan Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, ia perlu terus memastikan struktur, sistem dan
modus operandinya kekal mematuhi sepenuhnya ‘Prinsip Paris’ yang mengawal prestasi dan kredibiliti
Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI). Sebagai NHRI yang tertakluk kepada proses penilaian
seantara (peer-evaluation process) ke arah akreditasi semula setiap lima tahun, adalah penting bagi
Suruhanjaya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan ia mengekalkan kredibiliti sebagai NHRI
serta mempertahankan statusnya melalui program dan aktiviti yang dijalankan.
Kepentingan isu keamanan dan keselamatan negara serta keharmonian di negara yang berbilang
kaum, budaya dan agama seperti Malaysia adalah sesuatu yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
4