Sepanjang tahun lalu, SUHAKAM terus bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa termasuk Forum Komanwel Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (CFNHRI); Forum Asia Pasifik Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (APF); Forum Institusi Hak Asasi Manusia Nasional Asia Tenggara (SEANF); Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR); dan Perikatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI) untuk promosi dan perlindungan hak asasi manusia. SUHAKAM telah bekerjasama dengan AICHR di dalam Forum Serantau Mengenai Hak Asasi Manusia Dan Media pada bulan Mei, dan Debat Belia AICHR pada bulan September. Dalam hal menguruskan peninggalan masa lalu, terdapat sejumlah besar kerja yang masih tertunggak bagi SUHAKAM. Perkara teratas dalam agenda kami adalah pelaksanaan syor di dalam Inkuiri Nasional mengenai hak tanah Orang Asli. SUHAKAM juga akan terus menyokong penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia yang akan mempunyai objektif utama untuk menyelia perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia di dalam negara ini. Terdapat banyak cabaran untuk masa hadapan. Pada tahun 2018, rekod hak asasi manusia Malaysia akan dinilai oleh negara-negara lain melalui proses Penilaian Penggalan Sejagat PBB (UPR). Proses ini memberi peluang kepada semua Negara Anggota PBB untuk mengumumkan tindakan yang telah mereka ambil untuk memajukan keadaan hak asasi manusia di negara mereka. Seperti yang saya sebutkan, SUHAKAM memerlukan usahasama yang berterusan dan hubungan perkongsian bersama pihak Eksekutif, Parlimen, Kehakiman, kerajaan tempatan, pihak berkuasa awam, sektor masyarakat awam dan semua pihak berkepentingan yang lain untuk membentuk sebuah negara yang menghormati, melindungi, dan memenuhi hak-hak asasi manusia rakyatnya. Walaupun terdapat kemajuan berkenaan penglibatan SUHAKAM dengan beberapa pihak berkepentingan utama, tidak semua mesyuarat yang diadakan atas dasar penglibatan telah membuahkan hasil yang diingini. Isu-isu hak asasi manusia yang sukar, dan yang tidak dapat ditangani oleh SUHAKAM tanpa kesungguhan politik dan sokongan penuh penggubal dasar dan ahli-ahli badan perundangan di peringkat persekutuan dan negeri, masih berterusan. Sebagai sebuah badan kebangsaan yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen, adalah menjadi harapan SUHAKAM agar Kerajaan dan Parlimen dapat melihat SUHAKAM sebagai sekutu mereka dalam usaha untuk menggalakkan dan mempertahankan standard hak asasi manusia di negara ini. Walau apa pun cabarannya, SUHAKAM kekal komited untuk membawa lebih banyak kemajuan kepada hak asasi manusia pada tahun akan datang dan berharap untuk meluaskan hubungannya dengan pihak Kerajaan dan bukan Kerajaan, individu-individu, dan komuniti-komuniti ke arah menggalakkan lagi sikap hormat terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi. suhakam BM.indd 14 4/21/17 12:07 PM

Select target paragraph3