ULASAN PENGERUSI
Penukaran agama kanak-kanak secara unilateral terus menjadi tajuk
perdebatan hangat tahun ini. Ia timbul berkali-kali dalam arena politik, ruang
media, dan prosiding Mahkamah. Pada tahun 2016, perbincangan tentang
isu ini menjadi lebih serius apabila Kerajaan mengumumkan pindaan kepada
perundangan, khususnya Rang Undang-undang Membaharui Undang-undang
(Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, untuk mengelakkan penukaran
agama kanak-kanak secara unilateral. SUHAKAM berpendapat bahawa
pindaan tersebut akan mewujudkan standard yang lebih jelas dan konsisten
untuk menyelaraskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak dengan hak
Perlembagaan ibu bapa untuk bebas beragama, kerana di dalam perkahwinan
sivil, kedua ibu bapa harus memberikan kebenaran untuk anak mereka
memeluk Islam. SUHAKAM juga menyokong cadangan bahawa kanak-kanak
boleh mengekalkan agama mereka, supaya kelak kanak-kanak tersebut boleh
memilih dengan bebas agamanya, menurut kepercayaannya sendiri, apabila
dia mencapai umur dewasa (18 tahun). Mengambil kira betapa pentingnya
memupuk persefahaman, sikap tolak ansur, dan hormat-menghormati dalam
perkara yang berkaitan dengan kebebasan beragama dan berkepercayaan,
SUHAKAM menekankan bahawa isu penukaran agama kanak-kanak secara
unilateral di Malaysia, serta halangan yang begitu banyak dalam menikmati
sepenuhnya hak untuk bebas beragama, mesti diselesaikan dengan segera
oleh Parlimen. Ahli-ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk mengkaji
undang-undang sedia ada dan meminda atau memansuhkan mana-mana
yang bersifat diskriminasi, tidak saksama, atau kuno, dan SUHAKAM berharap
agar Parlimen akan segera menangani isu-isu yang belum selesai ini demi
kepentingan negara.
Perkahwinan kanak-kanak secara paksa adalah masalah sejagat yang
merentasi negara, agama, budaya, dan rejim politik. Oleh kerana amalan ini
merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang boleh menjejas tumbesaran
kanak-kanak perempuan dengan menyebabkan kehamilan awal, mengganggu
pendidikan, mengehadkan peluang untuk kemajuan kerjaya, dan menyebabkan
peningkatan risiko keganasan rumah tangga, SUHAKAM menyokong cadangan
oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM)
pada tahun ini untuk meningkatkan umur minimum untuk berkahwin kepada
18 bagi kanak-kanak perempuan Muslim di negara ini. Ini bersesuaian dengan
Akta Kanak-kanak 2001, yang mentakrifkan kanak-kanak sebagai mereka
yang berumur di bawah 18 tahun. Walaupun ada usaha-usaha murni oleh
Kementerian untuk tidak menggalakkan amalan tersebut dan meningkatkan
kesedaran mengenai kesan buruk perkahwinan kanak-kanak di bawah umur,
dari segi penggubalan undang-undang, Parlimen tidak menunjukkan prestasi
yang diharapkan. Walaupun Parlimen patut melibatkan NHRI dalam proses
perundangan, termasuk dengan menjemput NHRI untuk memberi nasihat
mengenai keserasian hak asasi manusia dengan undang-undang dan dasardasar yang dicadangkan, SUHAKAM masih lagi belum dirujuk.
LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2016 13
suhakam BM.indd 13
4/21/17 12:07 PM