ULASAN PENGERUSI
bukan sahaja merentasi sempadan tetapi juga di dalam sesebuah negara.
Walau bagaimanapun, SUHAKAM mengalu-alukan pembaharuan kepada
sistem perlindungan mangsa, termasuk peruntukan undang-undang untuk
membenarkan kebebasan mangsa untuk bergerak dan hak untuk bekerja.
Berhubung dengan isu pelarian, walaupun ini merupakan isu yang sekian lama
berterusan, dengan anggaran 150,000 orang pelarian yang berdaftar dengan
UNHCR di Malaysia, masih lagi tiada dasar, rangka kerja undang-undang,
atau penyelesaian yang kukuh berkenaan golongan rentan ini. Disebabkan
tiadanya status rasmi, dan oleh itu tiadanya keupayaan untuk mendapatkan
permit kerja yang sah, golongan ini terus terdedah kepada pemerdagangan.
Ramai pelarian menanggung hutang yang besar, dan pedagang manusia
mengambil kesempatan ke atas hal ini untuk mengikat pelarian kepada
hutang tersebut. SUHAKAM percaya bahawa akses kepada pekerjaan yang
selamat dan sah adalah hak asasi manusia yang jelas dalam undang-undang
antarabangsa, dan atas sebab-sebab yang kukuh ianya terpakai kepada
semua orang termasuk pelarian dan pencari suaka.
Walaupun tugas utama untuk melindungi hak asasi manusia terletak di tangan
kerajaan, perniagaan dan syarikat juga mempunyai tanggungjawab untuk
menghormati hak asasi manusia dalam operasi mereka. Tahun ini, agenda
hak asasi manusia dan perniagaan SUHAKAM terus berkembang, sesuai
dengan peningkatan momentum pelan-pelan tindakan kebangsaan bagi
pelaksanaan Prinsip-Prinsip Panduan PBB Mengenai Hak Asasi Manusia Dan
Perniagaan. SUHAKAM telah membantu Pejabat YB Senator Datuk Paul Low
dalam menyediakan Kertas Kabinet untuk mendapatkan kelulusan Kerajaan
bagi perangkaan Pelan Tindakan Kebangsaan (NAP) Mengenai Perniagaan
Dan Hak Asasi Manusia yang diperjuangkannya sejak tahun 2015.
SUHAKAM berharap NAP ini akan dapat membantu Kerajaan untuk
meningkatkan keupayaannya melindungi hak asasi manusia di Malaysia dengan
mengukuhkan struktur pentadbiran, menggalakkan lagi sikap hormat terhadap
kedaulatan undang-undang dan perpaduan negara, serta menggalakkan
perkembangan budaya hak asasi manusia di seluruh Malaysia. Di samping
itu juga, ia diharap dapat mewujudkan kejelasan dan konsistensi di kalangan
sektor perniagaan dengan mengukuhkan keupayaan dalaman Kerajaan
untuk menangani isu-isu perniagaan dan hak asasi manusia; membolehkan
kesepaduan yang lebih baik di antara pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan;
memberi panduan kepada pegawai Kerajaan, entiti perniagaan, dan juga
pihak berkepentingan lain berkenaan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan
untuk memastikan bahawa hak asasi manusia dilindungi dan dihormati;
memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, terutamanya mengenai
langkah-langkah yang diambil untuk melaksanakan Prinsip-Prinsip Panduan PBB
(UNGP); dan menggalakkan keselarasan di antara amalan hak asasi manusia
di peringkat negara dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2016 11
suhakam BM.indd 11
4/21/17 12:07 PM