Isu-Isu Utama ISU-ISU UTAMA 1. KEBEBASAN BERHIMPUN Pada tahun ini, Suruhanjaya menjalankan pemantauan ke atas enam perhimpunan awam berskala besar di pelbagai lokasi di Malaysia. Selain itu, beberapa perhimpunan awam lain pada skala lebih kecil juga telah berlangsung, yang mana Suruhanjaya tidak diminta untuk memantau. Melalui perhimpunan-perhimpunan awam tersebut, pelbagai isu telah diketengahkan, termasuklah yang berkaitan dan tidak berkaitan dengan hak asasi manusia. Antara isu-isu tersebut termasuklah hak kepada pilihan raya yang bebas dan adil, kebebasan media, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran kerajaan, perlindungan daripada rogol, serta bantahan-bantahan masyarakat terhadap pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Grabcar dan Uber, serta cadangan pembinaan lebuh raya KIDEX dan DASH. Berdasarkan pemerhatian Suruhanjaya terhadap perhimpunan awam yang berlangsung pada tahun ini, Suruhanjaya berpendapat bahawa terdapat peningkatan dari segi keterbukaan dan sikap hormat di kalangan masyarakat serta pihak berkuasa terhadap hak kebebasan berhimpun. Suruhanjaya khususnya memuji tindakan profesional pihak polis dalam mempermudahkan perjalanan perhimpunan awam di samping memastikan keselamatan peserta perhimpunan dan juga orang awam yang tidak terlibat dalam perhimpunan-perhimpunan awam tersebut. Suruhanjaya juga berpendapat bahawa pihak-pihak penganjur bagi kebanyakan perhimpunan awam tersebut lebih teratur berbanding sebelumnya dan menunjukkan kawalan yang lebih baik ke atas kelakuan peserta perhimpunan supaya tidak mengganggu pengguna lain lokasi di mana perhimpunan tersebut berlangsung. Malahan, keterbukaan pihak penganjur dan wakil pihak polis untuk berinteraksi antara satu sama lain dalam menguruskan perjalanan perhimpunan awam sehingga selesai amat menggalakkan. Sungguhpun demikian, Suruhanjaya kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang telah cuba menganggu ketenteraman perhimpunan awam dengan cara melaungkan slogan bersentimen perkauman dan kebencian terhadap agama lain. Terdapat juga cubaan provokasi apabila beberapa peserta dalam salah satu perhimpunan telah melepasi garisan sekatan polis dalam usaha untuk memasuki beberapa kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang telah pun dipersetujui oleh penganjur perhimpunan dan pihak polis sebagai kawasan larangan. Suruhanjaya amat kesal dengan kelakuan yang telah dipamerkan oleh segelintir peserta ketika terdapat perkembangan positif dalam sikap pihak berkuasa. Suruhanjaya ingin mengingatkan pihak penganjur dan peserta bahawa walaupun undang-undang hak asasi manusia antarabangsa melindungi perhimpunan yang aman, perlindungan itu boleh terlucut jika perhimpunan tersebut menjadi tidak terkawal. 19 ANR2016-SUHAKAM-BM Version.indb 19 02/04/2016 3:33 AM

Select target paragraph3