4
LAPORAN TAHUNAN 2019
2. Pengenalan Pendidikan Sivik di Sekolah
SUHAKAM memuji usaha KPM memperkenalkan semula pendidikan
sivik di semua peringkat pra-sekolah, rendah dan menengah menerusi
Modul Exemplar Pendidikan Sivik dan Manual Kesedaran Sivik dan
Amalan Nilai Murni Murid Semasa Perhimpunan. Semasa Mesyuarat
Kumpulan Fokus Sivik yang telah diadakan pada 5 dan 26 Mac,
SUHAKAM telah memberikan maklum balas atas draf Modul Exemplar
tersebut. Delegasi SUHAKAM yang diketuai oleh Pesuruhjaya Prof.
Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh telah menyampaikan maklum
balas dan cadangan SUHAKAM, antaranya berkaitan maksud yang
tepat tentang hak dan tanggungjawab serta maklumat berkenaan
konvensyen hak asasi manusia antarabangsa. Mereka turut berkongsi
bahan promosi SUHAKAM berkenaan hak asasi manusia. Selain itu,
Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM yang merupakan pihak yang
mengetuai Pembangunan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai
Murni Murid Semasa Perhimpunan telah mengadakan perbincangan
dengan SUHAKAM pada 3 Januari. Program Pendidikan Sivik Peringkat
Kebangsaan kemudiannya telah diperkenalkan di sekolah bermula
bulan Jun.
Pada 13 Ogos, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah
melancarkan program Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan.
SUHAKAM telah dijemput ke majlis pelancaran tersebut. Pencapaian
yang membanggakan bagi SUHAKAM adalah apabila sebahagian
bahan maklumat dan input yang diberikan oleh SUHAKAM telah
diintegrasikan ke dalam Modul Exemplar sebagai bahan rujukan
dan bacaan.
Pada 27 November, SUHAKAM telah bertemu dengan pihak Institut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi memastikan bakal guru
mempunyai pengetahuan hak asasi manusia yang menyeluruh,
sejajar dengan aspirasi KPM. Hasil mesyuarat tersebut mendapati
kedua-dua pihak telah bersetuju agar SUHAKAM dilibatkan dalam
kajian semula silibus IPG yang akan dijalankan pada awal tahun
hadapan serta bekerjasama untuk membangunkan modul hak asasi
manusia bagi pendidik.