2
LAPORAN TAHUNAN 2019
1.1 PENDIDIKAN DAN PROMOSI
LATAR BELAKANG
SUHAKAM terus mewujudkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat
awam serta menyediakan program pembangunan kapasiti untuk
pelbagai peringkat di Malaysia. SUHAKAM juga telah mencapai
beberapa kemajuan positif berkenaan dengan visinya tentang hak
asasi manusia agar diajar dan diamalkan di sekolah.
Program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) di sekolah telah
diperluaskan ke 246 buah sekolah di seluruh Malaysia menjadikan
jumlah keseluruhan sekolah yang terlibat adalah 468 buah. SUHAKAM
bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut sama
membangunkan dan melancarkan dua modul hak asasi manusia untuk
murid UPSR dan PT3. SUHAKAM juga terlibat dalam kajian KPM tentang
Dasar Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, keterlibatan dengan
institusi latihan tempatan, universiti, sektor swasta, kerajaan dan agensi
penguatkuasaan telah dilaksanakan serta menunjukkan perkembangan
dan pelaksanaan yang positif dengan pertambahan bilangan sesi
latihan hak asasi manusia untuk pelatih, bengkel pembangunan
kapasiti kempen hak asasi manusia dan modul latihan. Selain itu,
SUHAKAM mengukuhkan penglibatan dan perkongsian dengan
pihak berkuasa agama dengan tujuan meningkatkan pengetahuan
awam tentang prinsip yang saling berkait antara agama dan hak
asasi manusia.
SUHAKAM terus mendekati masyarakat akar umbi dan golongan rentan
melalui platform SUHAKAM Bersama Masyarakat (SBM) yang mana
SUHAKAM dapat berinteraksi secara langsung dengan masyarakat
daripada pelbagai latar belakang seperti Orang Asli/Asal, petani,
pekerja ladang, nelayan dan orang kurang upaya.