xxii
LAPORAN TAHUNAN 2019
menumpukan kepada jenayah yang dilakukan oleh pemerdagang
manusia terhadap pelarian Rohingya di laut dan kem pemerdagangan
manusia di Malaysia dan Thailand. Mangsa yang terselamat daripada
kekejaman ini di Malaysia berhak mendapat perlindungan di bawah
undang-undang Malaysia sebagai mangsa pemerdagangan. Justeru,
adalah penting untuk mengetahui sama ada Suruhanjaya Siasatan
Diraja Wang Kelian, yang ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri,
dapat mengenal pasti pelaku dan keadilan akan dilaksanakan
dengan sewajarnya.
SUHAKAM terus menjalankan sesi rundingan untuk mendapatkan
pandangan seterusnya mengemukakan kepada Kementerian Sumber
Manusia, khususnya mengenai isu perlindungan pencari kerja terhadap
diskriminasi, yang digugurkan daripada cadangan pindaan Akta
Pekerjaan (EA). SUHAKAM melalui kenyataan medianya menyatakan
bahawa menghapuskan perlindungan pencari kerja daripada pindaan
EA akan menyebabkan amalan diskriminasi pra-pekerjaan berlaku.
SUHAKAM mengesyorkan bahawa larangan mengenai diskriminasi di
bawah Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan harus dipertahankan.
Selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang),
YB Datuk Liew Vui Keong mengumumkan bahawa Kabinet memutuskan
agar semua perkara berkaitan hak asasi manusia, termasuk
pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Perniagaan
dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR), diletakkan di bawah portfolionya,
SUHAKAM telah memberikan syor dan input mengenai permulaan dan
pembangunan NAPBHR untuk Malaysia.
SUHAKAM menegaskan pendiriannya untuk memansuhkan Akta
Hasutan 1948 dan mengesyorkan agar agenda untuk memperbaharui
undang-undang dan penguatkuasaan untuk mengawal kebencian,
mengikut piawaian hak asasi manusia antarabangsa dilaksanakan.
Ini akan memastikan rasa hormat dan perlindungan kepada hak
untuk kebebasan bersuara seperti yang dijamin di bawah Perkara
10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi
Manusia Sejagat.
SUHAKAM menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh Menteri di
Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama dalam
pengenalan Rahmatan lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah, yang
kedua-duanya menekankan prinsip global mengenai promosi dan
melindungi hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, SUHAKAM