xii LAPORAN TAHUNAN 2019 Kesedaran dan pemahaman hak asasi manusia sebagai sesuatu yang menyeluruh dilihat bertambah baik dalam kalangan rakyat Malaysia. Begitu pun masih lagi terdapat perbezaan pandangan mengenai pemansuhan hukuman mati dan ratifikasi kepada Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) dan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) yang sentiasa disokong dan terus dipertahankan oleh SUHAKAM. SUHAKAM memberikan perhatian khusus kepada UNCAT pada tahun 2019 dengan mengadakan Dialog Serantau dan bekerjasama dengan kartunis tempatan sebagai sebahagian daripada projek yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah. Walaupun begitu, terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mendidik rakyat Malaysia mengenai realiti hak asasi manusia dan kerja berkaitannya. Dalam pada itu, SUHAKAM berjaya mengorak langkah bukan sahaja dalam negara, malah di pentas serantau dan antarabangsa. Ia boleh dilihat menerusi inisiatif SUHAKAM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan orang tidak bernegara di Sabah bersama Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (KomnasHAM) manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) bertindak sebagai pemerhati. Selain itu, SUHAKAM juga menandatangani MoU dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) mengenai isu pekerja migran. SUHAKAM terus memainkan peranannya sebagai hos kepada kontinjen Suruhanjaya Serantau Hak Asasi Manusia Bangsamoro Wilayah Autonomi Filipina, yang menyatakan minat mereka dalam menjadikan struktur kerja SUHAKAM sebagai contoh. Semestinya perkembangan ini membanggakan sekaligus menunjukkan bahawa SUHAKAM merupakan institusi yang dihormati di peringkat antarabangsa serta boleh dijadikan model untuk diteladani. “ Suhakam akan terus berjuang agar kerajaan meratifikasi enam lagi instrumen hak asasi manusia antarabangsa dan menarik balik reservasi triti yang telah disertai ”

Select target paragraph3