Isu-Isu Utama i. Konsultasi secara tetap, menyeluruh dan bermakna diadakan dengan pihak berkepentingan di setiap peringkat proses pembangunan; ii. Wakil daripada Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) dilantik menjadi ahli Jawatankuasa Pemandu; iii. Penyertaan kepada triti utama hak asasi manusia antarabangsa dan syor-syor UPR Malaysia diutamakan di dalam NHRAP; dan iv. Perincian akhir rancangan tersebut, yang dijadualkan berlangsung pada akhir tahun 2016, dipercepatkan. 3. KEMATIAN DI DALAM TAHANAN POLIS Pada tahun 2014, Suruhanjaya telah menjalankan dua kajian tematik, yang pertama berkenaan insiden kematian dalam tahanan polis dan kedua berkenaan hak kepada kesihatan di penjara. Kajian pertama didorong oleh jumlah kes kematian dalam tahanan polis yang menjadi kebimbangan masyarakat awam. Berdasarkan statistik yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), di antara tahun 2000 dan Februari 2014 sebanyak 242 kematian dalam lokap polis telah direkodkan di seluruh Malaysia. Dalam kebanyakan kes, punca kematian yang dilaporkan adalah berkaitan dengan kesihatan seperti serangan asma, HIV/AIDS dan serangan jantung. Sebab-sebab lain termasuklah bunuh diri, maut akibat terjatuh dan pergaduhan antara tahanan. Daripada keseluruhan 242 kes, hanya dua kematian berpunca daripada perlakuan jenayah yang melibatkan polis. Suruhanjaya telah menjadi saluran untuk ahli keluarga si mati dan kumpulan masyarakat sivil untuk mendapatkan keadilan. Walaupun tiada formula mudah untuk memastikan keselamatan tahanan, Suruhanjaya berpendapat bahawa tanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah pencegahan tidak harus terletak di tangan polis semata-mata dan semua institusi perlu bekerjasama dalam memastikan keberkesanan langkah-langkah pencegahan tersebut. Dengan itu, dalam tahun yang dilaporkan, Suruhanjaya telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian mengenai kematian dalam tahanan polis. Kajian tersebut tidak hanya tertumpu kepada hak dan kesihatan tahanan, tetapi ia juga termasuk hak dan kebajikan pegawai dan anggota polis yang terbabit atau berhubung secara langsung dengan tahanan. Aktiviti kajian tersebut merangkumi (i) lawatan ke lokap-lokap di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak; dan (ii) temubual bersama pegawai, anggota polis dan tahanan di lokap. Objektif kajian adalah seperti berikut: i. Untuk meneliti faktor dan punca yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan; ii. Untuk memberi pandangan dan cadangan dalam penambahbaikan di dalam perundangan dan polisi; 9

Select target paragraph3