Isu-Isu Utama 10. DEKLARASI HAK ASASI MANUSIA ASEAN Suruhanjaya mengalu-alukan penerimaan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) pada Sidang Kemuncak Serantau di Kemboja pada 18 November sebagai satu perkembangan positif dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Walaupun Suruhanjaya berpuas hati kerana AHRD merangkumi ruang lingkup hak asasi manusia yang mana kesemuanya selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, namun ia bimbang bahawa Negara Anggota dibenarkan untuk mengambilkira latar belakang politik, ekonomi, undang-undang, sosiobudaya dan sejarah mereka dalam merealisasikan hak asasi manusia di negara masing-masing. Oleh kerana peruntukan ini, yang mungkin melemahkan semangat keseluruhan Deklarasi dan menafikan perlindungan hak asasi manusia sepenuhnya di seluruh rantau ini, perakuan AHRD bahawasanya semua hak asasi manusia adalah sejagat, tidak terbahagikan, saling berkaitan dan saling bergantung adalah tidak begitu meyakinkan. Selaras dengan visi ASEAN untuk Komuniti ASEAN menjelang 2015, Suruhanjaya berharap bahawa Suruhanjaya antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia dapat memainkan peranan lebih aktif dan mendalam sebagai mekanisme hak asasi manusia serantau terutamanya dengan mewujudkan hubungan yang lebih bermakna dengan pihak berkepentingan khususnya Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI) dan organisasi-organisasi masyarakat sivil untuk membincangkan isu-isu yang menjadi kebimbangan bersama. 11. CADANGAN PINDAAN AKTA SURUHANJAYA Bagi memastikan bahawa penjara dan tempat-tempat tahanan mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia, adalah penting bagi Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk mengadakan lawatan mengejut ke tempat-tempat ini. Oleh itu, Suruhanjaya telah mengemukakan syor kepada Kerajaan supaya Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 dipinda bagi membenarkan Suruhanjaya menjalankan lawatan ke penjara dan tempat-tempat tahanan tanpa notis terlebih dahulu, sepertimana keperluan sedia ada untuk berbuat demikian. 12. RATIFIKASI INSTRUMEN ANTARABANGSA TERAS HAK ASASI MANUSIA Kerajaan masih lagi tidak membuat sebarang langkah konkrit untuk menyertai enam lagi instrumen hak asasi manusia antarabangsa. Malaysia hanya telah menyertai tiga instrumen iaitu - CEDAW, CRC dan CRPD. Suruhanjaya akan terus menggesa Kerajaan untuk meratifikasi ICCPR, Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, CAT, Konvensyen Antarabangsa Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman, Kovenan Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka, dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Semua Orang daripada Hilang secara Paksa. Semua ini adalah instrumen penting untuk menunjukkan komitmen negara ke arah membasmi kemiskinan, melindungi hak-hak sosio-ekonomi, meningkatkan maruah manusia dan menggalakkan hak-hak sivil dan politik rakyat. 24

Select target paragraph3