Ringkasan Eksekutif
Sebagai sebahagian daripada mandat berkanun, Suruhanjaya telah melawat dan memantau 13
pusat tahanan di seluruh negara.
Bahagian Inkuiri telah mengadakan dua Siasatan Awam. Siasatan Awam ke Atas Insiden
Sebelum dan Semasa Perhimpunan Awam pada 9 Julai 2011 telah berakhir pada tahun 2012.
Panel Siasatan telah memanggil 31 saksi yang terdiri daripada 14 orang awam dan 17 wakil dari
agensi-agensi kerajaan yang berkaitan; 42 eksibit telah diterima.
Tidak lama selepas laporan Siasatan Awam mengenai perhimpunan awam pada 9 Julai 2011
dikeluarkan, satu Panel Siasatan lain dibentuk yang terdiri daripada Datuk Dr Khaw Lake Tee
sebagai Pengerusi, dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid dan
Pesuruhjaya Detta Samen, bagi menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa
dan selepas perhimpunan awam pada 28 April 2012. Panel Siasatan menjangkakan laporan
akan dibentangkan pada awal tahun 2013.
KUMPULAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN DASAR
Dalam melaksanakan fungsinya untuk mengesyorkan penyertaan Malaysia kepada instrumen
hak asasi manusia antarabangsa dan untuk memastikan undang-undang negara adalah selaras
dengan instrumen antarabangsa yang berkaitan, Bahagian Penyelidikan menjalankan kajian
untuk mendapatkan pandangan mengenai aspek-aspek berkaitan. Ia memantau pelaksanaan
obligasi Kerajaan di bawah tiga konvensyen utama yang telah diratifikasi - Konvensyen
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), CRC dan CRPD.
Suruhanjaya telah menyediakan Laporan Bebas mengenai CEDAW dan CRC untuk dikemukakan
kepada PBB dan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan untuk menyertai enam triti hak
asasi manusia antarabangsa yang selebihnya. Suruhanjaya, dengan bantuan Majlis Peguam,
bertindak sebagai peguam pemerhati dalam tiga kes mahkamah. Ia terus mengemukakan
cadangan kepada Kerajaan untuk meminda Akta penubuhannya untuk membolehkan lawatan
ke tempat tahanan tanpa memberi notis terlebih dahulu.
Bahagian Pembangunan Dasar telah melibatkan Kerajaan dan organisasi masyarakat
sivil dalam Perbincangan Meja Bulat mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, Hak
kepada Perumahan Wajar, Hak Asasi Manusia dan Islam dan Hak Orang Asal/Asli (OA). Satu
kolokium susulan mengenai ‘Aplikasi Domestik Mengenai Norma-norma Hak Asasi Manusia
Antarabangsa’ telah dianjurkan dengan Badan Kehakiman pada bulan September. Mesyuarat
telah diatur dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO untuk meningkatkan hubungan kerja.
Bahagian Koordinasi Antarabangsa membantu kerja-kerja Suruhanjaya dengan
mengambil bahagian dalam aktiviti dan mesyuarat yang dianjurkan oleh Jawatankuasa
Penyelaras Antarabangsa PBB NHRI bagi Mempromosi dan Melindungi Hak Asasi Manusia,
Majlis Hak Asasi Manusia dan Forum Komanwel NHRI. Suruhanjaya meneruskan aktiviti yang
berkaitan dengan kemajuan hak asasi manusia serantau melalui Forum Asia Tenggara NHRI,
Suruhanjaya antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia dan Forum Asia Pasifik
NHRI.
9