PERUTUSAN PENGERUSI
Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar buat Malaysia susulan
pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia kerana ia bukan sahaja
menjadi tajuk utama perbincangan dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan
memberi kesan kepada ekonomi dan sosial secara keseluruhan. Sebelum
pandemik berlaku lagi, pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia masih
belum dapat ditangani sepenuhnya, antaranya melibatkan isu kemiskinan,
akses kepada keperluan asas bagi masyarakat rentan, beberapa undangundang yang menyekat hak asasi manusia secara tidak seimbang seperti
kebebasan bersuara dan media, serta pembaharuan lain berkaitan hak asasi
manusia yang disyorkan oleh SUHAKAM saban tahun. Ironinya pandemik ini
sebenarnya memburukkan lagi keadaan sedia ada.
Pandemik COVID-19 bukan sahaja meragut nyawa malah memberi kesan
negatif kepada kehidupan seharian rakyat seperti penutupan perniagaan,
kehilangan pekerjaan dan akses kepada keperluan asas sebagai contoh
penjagaan kesihatan dan pendidikan. Keadaan ini juga memburukkan
lagi keadaan ketidaksaksamaan sedia ada dan masalah yang dihadapi
golongan seperti orang asli/asal, penduduk miskin bandar, masyarakat
luar bandar, orang tanpa kewarganegaraan, pelarian dan pencari suaka,
pekerja migran dan tanpa dokumen. Pada masa yang sama, perubahan
Kerajaan Persekutuan pada bulan Februari 2020 dan ketidaktentuan politik
mengeruhkan lagi keadaan dalam negara.
Bagi membendung pandemik, kerajaan telah melaksanakan pelbagai
langkah drastik termasuklah penutupan sempadan dan pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pemeriksaan kesihatan pula diwajibkan
di setiap pintu masuk negara dan tempat awam. Selain itu kerajaan turut
menawarkan ujian saringan COVID-19 dan rawatan percuma kepada
orang tanpa kewarganegaraan. Belanjawan tambahan turut diperuntukkan
bagi meningkatkan keberkesanan mengatasi pandemik seperti perolehan
peralatan dan perkhidmatan perubatan bagi memenuhi permintaan
penjagaan kesihatan yang meningkat.
Seawal pelaksanaan PKP, SUHAKAM tidak dapat beroperasi seperti biasa
kerana tidak dianggap sebagai “perkhidmatan penting” di bawah PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-
viii
LAPORAN TAHUNAN 2020