SUHAKAM juga menjalankan siasatan terhadap 12 kes kematian dalam
tahanan. Enam kes berlaku di penjara, empat di lokap polis dan dua di
depot imigresen. SUHAKAM mengulangi pendirian sebelum ini mengenai
keperluan untuk menempatkan pegawai perubatan di pusat tahanan serta
menambahbaik pengurusan dan pengemaskinian rekod perubatan tahanan.
Pada 22 Oktober, SUHAKAM menganjurkan Perbincangan Meja Bulat
Menangani Penyakit Kudis Buta di Pusat Tahanan secara dalam talian.
Berdasarkan hasil perbincangan, SUHAKAM mencadangkan penubuhan
jawatankuasa khas bagi melaksanakan syor yang dikemukakan.
Inkuiri Awam mengenai kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu telah
bermula seawal bulan Februari. Sehingga Oktober, seramai 19 orang saksi
telah memberi keterangan di hadapan panel. Susulan pandemik COVID-19,
perbicaraan inkuiri awam telah ditangguhkan beberapa kali dan akan
bersambung pada awal tahun 2021.
SUHAKAM dijadualkan untuk menjalani proses akreditasi untuk kali keempat
pada Oktober 2020. Sungguhpun begitu proses ini ditangguhkan ke bulan
Jun 2021 disebabkan COVID-19. Justeru SUHAKAM telah menjemput pihak
pemegang taruh bagi membincangkan dan berkongsi idea mengenai proses
akreditasi ini pada 4 Ogos. Ketika sesi perbincangan ini, peserta menyatakan
bahawa mereka ambil maklum berkenaan usaha SUHAKAM mempromosi
dan melindungi hak asasi manusia tetapi menekankan keperluan mendesak
supaya Akta SUHAKAM disemak semula bagi memperkasa mandat dan
fungsi SUHAKAM.
SUHAKAM ambil maklum mengenai persetujuan Kementerian Luar Negeri
menggunakan Pangkalan Data Pengesanan Syor Nasional (NRTD) bagi
memudahkan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan cadangan UPR
oleh agensi berkaitan. SUHAKAM berharap NRTD dipercepatkan.
Bersempena dengan Mesyuarat Tahunan SEANF, SUHAKAM bersama Komisi
Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) dan Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia Filipina (CHRP) telah menjadi tuan rumah Dialog dalam Talian
mengenai Individu Tanpa Kewarganegaraaan pada 25 November. Undangundang berkaitan kewarganegaraan dan imigresen adalah antara halangan
politik yang menyebabkan masalah tanpa kewarganegaraan di Sabah
berlarutan. SUHAKAM, Komnas HAM dan CHRP akan terus bekerjasama rapat
dengan pihak pemegang taruh yang relevan dalam isu ini.
xvi
LAPORAN TAHUNAN 2020