PERUTUSAN PENGERUSI TAN SRI HASMY AGAM Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Sejak penubuhannya pada tahun 1999, Suruhanjaya telah mengemukakan setiap Laporan Tahunannya ke Parlimen sejajar dengan mandat yang termaktub di bawah seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Laporan Tahunan yang ke-13 ini merekodkan aktiviti dan tindakan Suruhanjaya serta syor berkaitan isu yang memerlukan perhatian daripada pelbagai pihak, antaranya pihak Kerajaan. Dalam menerajui perkembangan hak-hak sivil, kebudayaan, ekonomi, politik dan sosial sepanjang tahun ini, Suruhanjaya telah memantau kesan hak asasi manusia hasil daripada pembaharuan undang-undang oleh Kerajaan; pelaksanaan kebebasan berhimpun dan keadaan di pusat tahanan. Selain itu, Suruhanjaya turut memperluaskan hak golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita, warga emas, Orang Asal, Orang Kurang Upaya, pekerja migran, pelarian, pencari suaka dan tahanan. Suruhanjaya telah menerima 624 aduan yang mana 403 kes adalah di bawah bidang kuasanya. Suruhanjaya telah menyelesaikan 173 kes dan masih menjalankan tindakan susulan ke atas 230 kes yang selebihnya. Kebanyakan aduan adalah berkenaan kematian dalam tahanan polis; tangkapan dan penahanan; hak pekerja dan pekerja migran, pelarian dan pencari suaka; gangguan terhadap pembela hak asasi manusia, empangan Murum; hak kepada pendidikan atau tindakan pentadbiran sekolah dan pilihan raya kampus. Suruhanjaya telah melaksanakan tugas pemantauannya dengan mengadakan 30 lawatan berkala ke pusat tahanan imigresen, penjara, dan lokap polis untuk memantau keadaan dan situasi tahanan dan banduan serta pegawai yang bertanggungjawab. Suruhanjaya tetap bimbang terhadap kesejahteraan kanak-kanak di pusat tahanan imigresen terutamanya akses kepada pendidikan tidak formal dan tempoh penahanan mereka. 1

Select target paragraph3