Bab 2 - Laporan Kumpulan Aduan, Pemantauan dan Inkuiri
I. BAHAGIAN ADUAN DAN PEMANTAUAN
Menafikan hak asasi manusia setiap
insan adalah seperti mencabar nilai
kemanusiaan mereka
Nelson Mandela
Bahagian ini telah mengambil beberapa langkah untuk mengkaji semula dan memperkukuhkan
prosedur kerja bagi memastikan keberkesanan pengurusan aduan. Ini termasuklah
penyediaan Manual Pengurusan Aduan dan Prosedur Operasi Standard Mengenai Pemantauan
Perhimpunan Awam.
Suruhanjaya telah membuat pengkelasan semula bagi kategori aduan berdasarkan kebebasan
asasi yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan, UDHR, dan kewajipan Negara di bawah
triti antarabangsa berkenaan hak kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya dan Orang Asal
serta penghapusan diskriminasi antara kaum. Pengkelasan ini telah membolehkan Suruhanjaya
mengenal pasti jenis pelanggaran hak asasi manusia pada bila-bila masa aduan diterima.
Prosedur aduan juga telah disediakan bagi memastikan pengadu dimaklumkan seawal yang
boleh mengenai tindakan Suruhanjaya. Walau bagaimanapun, perkara ini perlu mengambil kira
kekangan perundangan apabila melibatkan kes mahkamah dan juga sumber manusia yang
sedia ada.
Perkhidmatan aduan atas talian telah disediakan bagi menerima sebarang aduan berhubung
pelanggaran hak asasi manusia semasa PRU ke 13 yang berlangsung pada 5 Mei. Daripada 59
aduan yang diterima, tiga aduan adalah berkenaan perkara umum manakala 56 aduan adalah
berkenaan isu prosedur dalam pilihan raya dan telah dirujuk kepada SPR untuk tindakan
selanjutnya.
1. PENYELESAIAN ADUAN
(a) Statistik
Sepanjang tahun ini, Suruhanjaya telah menerima sejumlah 624 aduan di Ibu Pejabat Kuala
Lumpur (357), Pejabat Sabah (235) dan Pejabat Sarawak (32). Daripada jumlah ini, 14 aduan
diterima dalam bentuk memorandum.
42