Modul Hak Asasi Pasca UPSR PENGENALAN Pendidikan hak asasi manusia didefinisikan sebagai pembelajaran, latihan dan maklumat yang bermatlamat untuk membina budaya masyarakat yang menghormati hak satu sama lain tanpa mengira latar belakang seseorang. Pendidikan hak asasi manusia yang berkesan bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mengenai hak asasi; tetapi juga memupuk sikap dan tingkah laku yang menyumbang ke arah mempromosi, membela dan mengamal budaya hak asasi manusia dalam kehidupan seharian. Khususnya, pendidikan hak asasi manusia mempunyai matlamat-matlamat berikut : i) mengukuhkan rasa hormat terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi; ii) membangunkan sepenuhnya personaliti dan maruah diri; iii) mempromosi kesefahaman, toleransi, kesaksamaan dan kesetia kawanan tidak kira latar belakang individu; iv) memperkasa setiap individu untuk menyertai secara efektif dalam masyarakat yang bebas dan demokratik yang dikawal selia oleh prinsip kedaulatan undang-undang; v) memastikan dan mengekalkan keamanan; dan vi) mempromosi pembangunan lestari berteraskan rakyat dan keadilan sosial. Oleh yang demikian, pendidikan hak asasi manusia menawarkan pengetahuan dan kemahiran tambahan kepada proses pengukuhan penghayatan murid terhadap Ilmu, Nilai Murni, Kewarganegaraan, Peraturan sosio-budaya dan Kemahiran Bernilai Tambah yang telah pun tersedia di dalam buku-buku teks sekolah di Malaysia. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah ditubuhkan oleh Parlimen Malaysia melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) dan dipertanggungjawabkan untuk, antara lain, memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan berhubung dengan hak asasi manusia. Berteraskan mandat ini, sejak memulakan operasinya pada tahun 2000, SUHAKAM telah berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi pendidikan yang lain untuk menyediakan pendidikan hak asasi manusia. Pelbagai program ceramah dan latihan hak asasi manusia kepada murid, guru-guru, siswazah dan pensyarah telah dijalankan bagi memupuk kesedaran dan menerapkan pemikiran serta tindakan yang mengambil kira dan menghormati hak asasi manusia. 3

Select target paragraph3