MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA
Senario Bom Berdetik
Senario bom berdetik adalah “pemikiran hipotesis” yang digunakan untuk
mempersoalkan larangan mutlak penyeksaan. Ia dapat dirumuskan seperti berikut:
“Katakan seorang suspek pengganas telah ditangkap oleh pihak
polis sebelum melakukan serangan. Suspek dipercayai terlibat
merancang satu serangan bom yang pasti akan berlaku dalam
masa terdekat yang akan mengakibatkan kematian orang awam.
Pengganas tersebut hanya akan mendedahkan maklumat berkaitan
serangan berkenaan sekiranya dia diseksa. Satu-satunya cara untuk
menghalang serangan itu adalah dengan melakukan penyeksaan.
Adakah anda akan melakukannya, ya atau tidak?”
“TIDAK” kepada pengecualian larangan penyeksaan
Penyeksaan tidak boleh digunakan dalam apa keadaan sekalipun. Adalah mustahil
mana-mana anggota atau pegawai polis yang tidak berpengalaman atau
mendapat latihan dalam melakukan penyeksaan akan berjaya mendapatkan
maklumat daripada pengganas terlatih atau telah diindoktrinasi. Oleh itu, mereka
perlu dilatih menjadi penyeksa profesional yang tidak peka terhadap keperitan
dan penderitaan orang yang berada di tahanan untuk teknik penyeksaan tersebut
berjaya. Persoalannya adakah kita mahukan penguatkuasa undang-undang
sebegitu berada dalam masyarakat.
Bagaimanapun, ramai pakar penyiasatan berpandangan bahawa peluang
lebih besar untuk mendapatkan maklumat yang menyelamatkan nyawa dengan
menggunakan kaedah pujukan, tipu muslihat, atau kaedah-kaedah lain. Oleh itu,
sekiranya nyawa ramai orang bergantung kepada maklumat yang tepat dan cepat,
kita pasti tidak mahu ada yang membuang masa menggunakan penyeksaan.
Rujukan: Defusing the Ticking Bomb Scenario, Why we must say No to torture, always,
Association for the Prevention of Torture (APT), 2017.
86