MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA OBJEKTIF MODUL i. Peserta dapat menjelaskan hak asasi yang relevan sebagai anggota atau pegawai polis. ii. Peserta mengetahui bahawa terdapat cabaran-cabaran khusus kepada penguatkuasa undang-undang dalam menikmati hak asasi manusia atas faktor tugasan kerja. iii. Peserta dapat menyenaraikan secara spesifik hak asasi manusia anggota atau pegawai polis yang perlu dipenuhi. Nota Rujukan Tenaga Pengajar 1. Adakah hak asasi manusia untuk semua individu termasuk pegawai dan anggota polis? • Hak asasi manusia adalah mengenai hubungan antara individu dan negara, di mana individu adalah pemegang hak dan negara adalah pemikul tanggungjawab. Justeru apabila membincangkan tentang hak asasi manusia dan polis, faktor utama yang perlu diingat adalah pegawai dan anggota polis bertindak sebagai agen negara; oleh demikian bertanggungjawab untuk menghormati serta melindungi hak-hak asasi rakyat. Namun, adakah pegawai dan anggota polis juga dikira sebagai pemegang hak semasa menjalankan tugas. Jawapan ringkasnya adalah ‘ya’. - Hak yang saksama - Pegawai dan anggota polis mempunyai hak dan kebebasan yang sama seperti individu lain dan hak asasi tersebut perlu dilindungi semasa mereka melaksanakan tugas. Prinsip hak asasi manusia yang terdapat dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia antarabangsa, seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) atau triti-triti hak asasi manusia antarabangsa termasuklah yang telah ditandatangani oleh Malaysia, terpakai untuk setiap individu termasuk pegawai dan anggota polis. - Hak asasi tidak boleh dipisahkan - Hak asasi tidak boleh dipisahkan daripada setiap individu kerana setiap individu mempunyai maruah diri yang semulajadi. Apabila mana-mana individu menyertai pasukan polis tidak bermakna dia telah kehilangan hak asasi manusia kerana terpaksa mematuhi peraturan pasukan. Pandangan bahawa pegawai dan anggota polis tidak mempunyai hak asasi manusia adalah satu pemahaman yang sempit dan ia sudah ketinggalan zaman serta bercanggah dengan pendirian di peringkat antarabangsa. - Pengecualian - Hak asasi manusia untuk pegawai dan anggota polis boleh dibatasi, walau bagaimanapun ia terhad kepada hak asasi manusia yang bukan mutlak seperti hak untuk berhimpun dan sebagainya. Sekatan terhadap hak asasi tersebut perlulah berasaskan undang-undang dan prinsip keberkadaran (proportionality) untuk memastikan pasukan polis berfungsi dengan efektif di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Satu contoh jelas sekatan yang dibenarkan ke atas hak asasi pegawai dan anggota polis adalah hak untuk berpersatuan di bawah Artikel 22 Kovenan Antarabangsa Berkenaan Hak Sivil dan Politik di mana ia menyatakan bahawa: 30 

Select target paragraph3