MODUL HAK ASASI MANUSIA
UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA
MODUL 2:
HAK ASASI MANUSIA PEGAWAI DAN ANGGOTA POLIS
KANDUNGAN
Nota Rujukan Tenaga Pengajar
1. Adakah hak asasi manusia untuk semua individu termasuk pegawai
dan anggota polis?
2. Apakah cabaran kepada hak asasi manusia sebagai seorang
pegawai dan anggota polis?
3. Apakah hak asasi manusia yang relevan kepada polis?
Aktiviti 1: Pengalaman hak asasi manusia
Aktiviti 2: Lepak kedai mamak
PENDAHULUAN:
Perbincangan berkenaan hak asasi manusia untuk pegawai dan anggota polis adalah
antara yang terpenting kerana persoalan seperti “Apakah hak asasi saya?” dan “Siapakah
yang memastikan hak asasi saya terjamin?” sering dibangkitkan semasa bengkel hak
asasi manusia untuk pegawai dan anggota polis. Oleh itu modul ini boleh dijadikan
antara modul yang terawal dalam memulakan kursus bagi menunjukkan kepada peserta
bahawa hak asasi manusia adalah untuk semua. Ini akan membantu mengurangkan
‘tuduhan’ bahawa hak asasi manusia hanya mementingkan hak golongan tertentu sahaja
terutama hak asasi ‘penjenayah’ dan mendorong peserta untuk membentuk pandangan
yang positif terhadap hak asasi manusia.
Melalui modul ini peserta lebih memahami bahawa hak asasi bukanlah terhad kepada
golongan tertentu sahaja bahkan setiap individu termasuk pegawai dan anggota polis
juga mempunyai hak asasi manusia kerana mereka juga adalah manusia. Hakikat ini
sering dilupakan oleh ramai orang termasuk pegawai dan anggota polis sendiri. Malahan,
ketidaksedaran pegawai dan anggota polis bahawa mereka juga memiliki hak asasi
manusia menyebabkan mereka tidak menggunakan saluran dan mekanisme hak asasi
manusia yang ada untuk membangkitkan isu berkaitan hak asasi mereka.
Pegawai dan anggota polis dihadapkan dengan banyak persoalan berkaitan hak asasi
manusia semasa menjalankan tugas mereka, sedangkan hak asasi mereka juga terjejas
secara langsung ketika menjalankan tugas. Dengan menjaga hak asasi anggota dan
pegawai polis, secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.
Justeru aktiviti perbincangan berkaitan hak asasi pegawai dan anggota polis bermanfaat
untuk para peserta berkongsi permasalahan yang dihadapi dalam menjalankan tugas
dan melihatnya dari perspektif hak asasi manusia. Untuk memaksimumkan perbincangan,
tenaga pengajar harus mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai undangundang domestik dan peraturan yang berkaitan perlindungan kepada pegawai dan
anggota polis, seperti peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Arahan Tetap Ketua Polis
Negara dan peraturan-peraturan lain untuk melindungi pegawai dan anggota polis serta
kegiatan kesatuan polis.
29