MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA 4.9 Latihan tambahan patut diberikan kepada penemubual, perantara dan jurubahasa yang terlibat dengan proses menemubual orang dalam situasi kerentanan tinggi, seperti kanak-kanak dan orang yang mempunyai kettidakupayaan psikososial. Latihan sedemikian patut menyediakan panduan dalam mengawasi kesejahteraan psikologikal orang yang ditemubual, dan jika perlu, menghentikan temubual dan mendapatkan bantuan daripada profesional terlatih yang layak. 4.10 Kakitangan yang menguruskan dan menyelia penemubual juga patut menjalani latihan, supaya mereka bukan sahaja meningkatkan kemahiran menemubual tetapi juga belajar bagaimana untuk menilai kualiti keseluruhan sesebuah temubual, untuk memberikan maklum balas dan sokongan yang sewajarnya kepada penemubual. 4.11 Individu lain yang relevan seperti hakim, pendakwa, pegawai jagaan, dan peguam bela juga patut diberikan taklimat tentang temubual yang berkesan. Ini membantu pemahaman bersama tentang peranan dan cabaran masing-masing, dan memudahkan pemantauan atau penilaian luaran jika terdapat aduan. 4.12 Penggunaan teknologi dalam latihan boleh membantu meningkatkan kualiti temubual pada masa depan dan menghasilkan data bernilai bagi penyelidikan selanjutnya. Ini termasuklah menggunakan peralatan audio-visual bagi merakam sesi latihan dan menggunakan temubual yang telah dirakam secara elektronik sebagai contoh untuk sesi berdasarkan senario. 4.13 Kerjasama dalam latihan patut digalakkan antara agensi-agensi penguatkuasa undang-undang, personel tentera dan risikan, badan pemerhati, akademi dan sekutu antarabangsa. Penyelidik akademik dan bebas patut digalakkan memberikan akses dan mengemukakan kajian mereka yang relevan kepada umum. 4.14 Program latihan patut sentiasa dikemaskini bagi mencerminkan evolusi piawaian hak asasi manusia antarabangsa dan penyelidikan saintifik. Sentiasa menggunakan penyelidikan yang berkembang dan teknik yang diakui dalam amalan juga boleh memperkukuhkan program latihan. Pembangunan Profesional Berterusan 4.15 Pengetahuan dan kemahiran temubual perlu dikekalkan sepanjang masa. Menerapkan temubual yang berkesan dalam program-program pembangunan profesional berterusan akan membantu memastikan komitmen institusi bagi temubual beretika dan berkesan. 4.16 Elemen-elemen yang amat penting bagi pembangunan profesional yang berkesan merangkumi komitmen daripada kepimpinan, latihan pengukuhan secara berkala dan latihan ulang kaji untuk memperhalusi teknik, memperbetulkan kesilapan dan mengemukakan hasil penyelidikan relevan yang terkini kepada penemubual. 4.17 Program pembangunan profesional berterusan membolehkan agensi-agensi, terutamanya penyelia, mengawasi dan mengukur prestasi temubual dengan lebih baik, mengenal pasti keperluan latihan selanjutnya, meningkatkan penggunaan teknologi yang sedang berkembang dan mengemaskini pengetahuan dalam penyelidikan. 151 

Select target paragraph3

Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents