ISU-ISU UTAMA
ISU-ISU UTAMA
Dengan keanggotaan baru yang memulakan tugas pada 26 April, Suruhanjaya mengekalkan hala
tujunya dalam menegakkan hak asasi manusia di Malaysia secara amnya dan golongan rentan,
khususnya. Penahanan arbitrari dan penguatkuasaan undang-undang merupakan antara isu yang
masih menjadi perhatian.
1. KAJIAN SEMULA UNDANG-UNDANG PENAHANAN
PENCEGAHAN
Peruntukan undang-undang yang membenarkan penahanan pencegahan, seperti Ordinan Darurat
(Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah
Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih menjadi isu tumpuan
Suruhanjaya. Suruhanjaya berkongsi sentimen awam terhadap penahanan tanpa bicara, yang
bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 9, 10 dan 11 Perisytiharan
Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Penggunaan undang-undang tersebut kononnya untuk menjamin keselamatan negara adalah
pelanggaran serius terhadap hak kebebasan seseorang. Suruhanjaya amat konsisten dalam
saranannya untuk mengkaji semula atau memansuhkan undang-undang penahanan pencegahan
serta menggubal undang-undang baru yang berfungsi sebagai undang-undang keselamatan yang
mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia. Sebarang pindaan perlu memastikan, antara lain, hak
kepada perbicaraan yang adil dan hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga didapati sebaliknya
di mahkamah.
2. KEBEBASAN BERHIMPUN
Suruhanjaya menyedari bahawa terdapat beberapa permohonan permit untuk menganjurkan
perhimpunan aman ditolak atau hanya diberikan kepada kumpulan tertentu sahaja. Suruhanjaya
berpendapat bahawa walaupun Polis DiRaja Malaysia mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan
permohonan mengadakan perhimpunan awam, ia harus bertindak secara adil, bebas dan profesional
dalam menghormati hak setiap warganegara. Penolakan ringkas permohonan tanpa alasan, walaupun
sah dari sudut perundangan, tidak selari dengan maksud penguatkuasaan yang terkandung dalam
Akta Polis 1967. Sehubungan itu, Suruhanjaya menyeru pemansuhan subseksyen (2), (2A)-(2D), (4),
(4A), (5), (5A)-(5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967 dan mengesyorkan agar
polis menggunakan cara yang sederhana dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya
perlu untuk mengawal atau menyuraikan sesuatu perhimpunan.
13