RINGKASAN EKSEKUTIF Menyedari golongan rentan memerlukan perhatian lebih, Suruhanjaya terus memfokuskan terhadap promosi dan perlindungan hak-hak golongan rentan termasuk wanita dan kanak-kanak; Orang Asal/ Asli; orang kelainan upaya; lesbian, gay, bi-seksual dan transgender; pekerja migran; serta pencari suaka dan orang pelarian. Suruhanjaya sentiasa peka akan isu-isu yang menjejaskan golongan ini dan menyeru Kerajaan memberikan perhatian serius kepada penderitaan mereka. Suruhanjaya mengalu-alukan komitmen Kerajaan untuk membentuk Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP) dan menyeru Kerajaan berunding dengan pihak berkepentingan yang bersesuaian dalam merangka pelan tersebut. Suruhanjaya akan bekerjasama erat dengan Kerajaan dalam memantau pelaksanaan komitmen Kerajaan berdasarkan proses Penilaian Penggalan Sejagat (UPR). Selain itu, menyedari ratifikasi atau pengesahan triti hak asasi manusia antarabangsa dapat memberi pengiktirafan kepada kebebasan asasi yang asas, Suruhanjaya akan menggandakan usahanya ke arah ratifikasi atau pengesahan enam triti teras hak asasi manusia di mana Malaysia masih belum menjadi ahlinya. Antara triti tersebut ialah Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR) dan Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (CAT). Berkenaan dengan ratifikasi instrumen hak asasi manusia antarabangsa, Suruhanjaya mengulangi pendiriannya bahawa ratifikasi tersebut menggambarkan komitmen Kerajaan dalam meninggikan maruah manusia serta mempromosi dan melindungi hak asasi rakyatnya. Suruhanjaya sekali lagi menyeru Kerajaan supaya memperkukuh dan meningkatkan kuasa Suruhanjaya agar ia dapat memainkan peranan penting dalam memerhati dan memantau pelaksanaan Kerajaan berdasarkan instrumen berkenaan. LAPORAN KUMPULAN KERJA PENDIDIKAN DAN PROMOSI Kumpulan Kerja Pendidikan dan Promosi (EWG) merupakan seksyen penting dalam Suruhanjaya memandangkan ia berperanan menjalankan fungsi Suruhanjaya untuk mempromosi kesedaran dan menyediakan pendidikan berkaitan hak asasi manusia. Sepertimana terdahulu, pada tahun ini EWG meneruskan aktiviti promosinya dalam bidang pendidikan hak asasi manusia di sekolah dan universiti. Suruhanjaya telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran memulakan projek Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah yang bertujuan mengintegrasikan nilai-nilai dan prinsip hak asasi manusia di sekolah. Lima buah sekolah telah dipilih dan dengan kerjasama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Suruhanjaya sedang menilai keberkesanan projek terbabit. EWG juga memfokuskan kepada promosi hak kanak-kanak Orang Asli terutamanya akses kepada pendidikan dan kualiti pendidikan di kalangan kanak-kanak berkenaan. Menyedari penuntut universiti sebagai pemimpin masa depan, Suruhanjaya telah menganjurkan beberapa program bertujuan memberi kesedaran kepada mereka mengenai hak asasi manusia. Program-program ini telah diadakan dengan kerjasama universitiuniversiti yang berkaitan. 8

Select target paragraph3