MESEJ PENGERUSI Sepanjang tempoh penubuhannya, Suruhanjaya telah menjalankan beberapa inkuiri awam. Ia turut mengesyorkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA) dan mengkaji semula perundangan penahanan arbitrari, mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Seksyen 27 Akta Polis dan Akta Rahsia Rasmi, dan penghapusan hukuman gantung dan penjara sepanjang hayat. Bagi meneruskan usaha ini, Suruhanjaya terlibat dengan dialog bersama agensi Kerajaan bagi menyakinkan mereka mengenai kepentingan pendekatan tersebut dan mempercepatkan proses pelaksanaannya. Sehubungan ini, Suruhanjaya mengalu-alukan tindakan Kerajaan untuk meminda ISA, yang diharapkan sebagai langkah pertama ke arah pemansuhannya. Suruhanjaya menyeru Kerajaan agar memastikan pindaan tersebut menepati prinsip hak asasi manusia berhubung dengan hak tahanan untuk kebebasan individu, hak kepada perbicaraan adil dan hak untuk dianggap tidak bersalah hingga didapati sebaliknya, sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 3, 10 dan 11 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Untuk terus berdepan dengan peningkatan aduan hak asasi manusia yang diterima secara berkala, Suruhanjaya telah mengemukakan syor-syor, antara lain, berkenaan kegagalan polis untuk bertindak ke atas aduan yang dilaporkan, penahanan dan penangkapan arbitrari, penggunaan kekerasan melampau oleh pegawai penguatkuasa, dan penafian hak kepada perhimpunan aman dan kebebasan bersuara. Pada penghujung tahun, Suruhanjaya telah melangkah setapak ke hadapan dalam usahanya melindungi hak Orang Asal/Asli melalui penubuhan Jawatankuasa Hak Orang Asal/Asli, yang berfungsi sebagai mekanisme fokal dalam memantau kes-kes pencabulan Orang Asal/Asli. Suruhanjaya telah memutuskan untuk menjalankan Inkuiri Nasional yang pertama mengenai hak Orang Asal/Asli kepada tanah berdasarkan fakta di mana kebanyakan aduan berkisar mengenai tanah – pemilikan tanah, kehilangan tanah akibat pengusiran dan impak pembangunan terhadap kehidupan dan persekitaran mereka. Suruhanjaya berpendapat bahawa hal tanah Orang Asal/Asli merupakan isu kritikal yang perlu ditangani secara serius oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Sehubungan itu, secara rasionalnya Suruhanjaya berharap Inkuiri Nasional ini akan mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada Kerajaan. Seksyen 21 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) mewajibkan Suruhanjaya menyerahkan Laporan Tahunannya ke Parlimen semasa persidangan pertamanya. Malangnya, walaupun laporan ini telah diserahkan tanpa gagal sejak 10 tahun lepas, tiada satu pun daripadanya dibahaskan. Sebagai badan penasihat tanpa kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan, Suruhanjaya menggesa Ahli Parlimen agar membahaskan Laporan Tahunannya, atau sekurang-kurangnya, mengambil isu penting hak asasi manusia yang dibangkitkan dalam laporan dan menyokong sepenuhnya syor yang diutarakan di dalam laporan tersebut, bagi melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia kepada orang ramai. 3

Select target paragraph3