BAB 2 - LAPORAN KUMPULAN KERJA ADUAN DAN SIASATAN Suruhanjaya berpendapat bahawa penggunaan senjata api adalah sebagai langkah melampau. Senjata yang tidak membawa maut seperti senjata perenjat elektrik sepatutnya digunakan bagi mengelakkan kes kematian. Sekiranya penggunaan senjata api tidak dapat dielakkan, penggunaan tersebut sewajarnya dihadkan bagi tujuan mempertahankan diri atau melemahkan suspek dan bukan untuk menyebabkan kematian. Oleh yang demikian, Suruhanjaya mencadangkan polis supaya memberi perhatian kepada Kod Etika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Anggota Penguatkuasa Am Undang-undang 1979 dan Prinsip-Prinsip Dasar tentang Penggunaan Kuasa dan Senjata Api oleh Anggota Penguatkuasa Am Undang-undang 1990 semasa menjalankan tugas. Di samping memberi penekanan tegas terhadap penggunaan senjata api oleh anggota polis, orang ramai juga perlu peka dengan undang-undang di negara ini. Rakyat Malaysia perlu belajar daripada insiden yang berlaku bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang di masa hadapan. Perlu dicatatkan bahawa kebanyakan kes berkenaan dakwaan kelewatan tindakan polis, kebanyakan pengadu tidak menyedari tentang Seksyen 107A2 Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan hak statutori kepada pengadu untuk mendapatkan status laporan siasatan daripada Pegawai Polis Daerah bergantung kepada had yang ditentukan dalam seksyen tersebut. Sementara Suruhanjaya memuji tindakan positif pihak polis yang mematuhi peruntukan tersebut, Suruhanjaya juga menggesa polis supaya meningkatkan usaha menyiasat laporan yang dibuat. 2 Seksyen 107A Kanun Prosedur Jenayah: Laporan mengenai status penyiasatan. (1) Mana-mana orang yang telah memberi maklumat di bawah Seksyen 107 boleh meminta laporan mengenai status penyiasatan kesalahan yang diadu di dalam maklumatnya daripada ketua balai polis di mana ia memberi maklumat itu. (2) Ketua balai polis hendaklah memberi laporan status mengenai penyiasatan kesalahan itu kepada si pemberitahu tidak lebih daripada dua minggu daripada tarikh penerimaan permintaan yang dibuat di bawah subseksyen (1). (3) Walau apa pun subseksyen (2), tiada seorang ketua balai polis harus dikehendaki memberi laporan status mengenai penyiasatan suatu kesalahan – (a) melainkan jika kesalahan yang diadukan adalah kesalahan boleh tangkap; (b) melainkan jika tempoh empat minggu telah tamat daripada tarikh pemberian maklumat itu di bawah seksyen 107; dan (c) yang mengandungi apa-apa perkara yang berkemungkinan akan menjejaskan penyiasatan terhadap kesalahan atau pendakwaan kesalahan itu. (4) Jika suatu permintaan telah dibuat di bawah subseksyen (1) dan ketua balai polis itu telah gagal untuk memberikan laporan status kepada si pemberitahu dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (2), tetapi tertakluk kepada subseksyen (3), si pemberitahu boleh membuat laporan mengenai kegagalan itu kepada Pendakwa Raya. (5) Selepas menerima laporan di bawah subseksyen (4), Pendakwa Raya hendaklah mengarahkan Ketua Polis Daerah untuk memberi kepadanya suatu laporan status lengkap mengenai penyiasatan yang telah dijalankan oleh polis berhubung dengan kesalahan di dalam maklumat yang diberikan oleh si pemberitahu. (6) Pendakwa Raya hendaklah menyebabkan untuk diberikan kepada si pemberitahu, atau mengarahkan Ketua Polis Daerah untuk memberikan kepada si pemberitahu, laporan status yang mengandungi maklumat sepertimana yang diarahkan oleh Pendakwa Raya. 41

Select target paragraph3