BAB 2 - LAPORAN KUMPULAN KERJA ADUAN DAN SIASATAN 2. ISU-ISU UTAMA ADUAN (a) Aduan terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Sebanyak 125 aduan yang diterima adalah berkaitan dakwaan kelewatan tindakan polis dalam menyiasat laporan polis yang dibuat, penggunaan kekasaran melampau atau tindakan ganas dan penyalahgunaan kuasa. Suruhanjaya berpendapat bahawa jumlah aduan yang tinggi terhadap polis pada setiap tahun adalah berkemungkinan disebabkan harapan masyarakat terhadap PDRM untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara, di samping kuasa besar diperuntukkan undang-undang kepada polis bagi menjalankan tanggungjawab tersebut. Pada 3 Mei, Suruhanjaya menerima memorandum daripada Pakatan Rakyat berkenaan insiden tembakan adik Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang berusia 15 tahun ketika sedang memandu kenderaan kakaknya. Beliau ditembak mati oleh anggota polis apabila tidak menghentikan kenderaan yang dipandu setelah diarahkan polis di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor pada 26 April. Sejurus selepas kejadian tersebut, pihak polis membuat kenyataan umum mendakwa bahawa remaja tersebut disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah. Polis turut mendakwa bahawa mereka menemui sebilah parang di dalam kenderaan. Keluarga remaja tersebut mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan polis. Kejadian itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai dan menyebabkan Kerajaan menubuhkan panel siasatan yang terdiri daripada lapan individu yang diketuai oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, untuk memantau siasatan polis berhubung kejadian tersebut dan meneliti prosedur penggunaan senjata api oleh anggota polis. Pada 10 Mei, seorang anggota polis berpangkat Koperal telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 304A1 Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian. Oleh kerana perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah, Suruhanjaya mengambil keputusan untuk tidak menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. Walau bagaimanapun, pada bulan Ogos, Suruhanjaya meminta maklumat daripada ketua panel siasatan mengenai tindakan dan cadangan panel berkenaan peraturan penggunaan senjata api oleh anggota polis. Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Dalam Negeri memaklumkan bahawa pihak panel berpuas hati dengan siasatan polis kerana ia telah dijalankan dengan telus, cekap dan meliputi segala aspek. Beliau juga memaklumkan bahawa panel telah mencadangkan beberapa pindaan kepada Hukuman Tetap Ketua Polis Negara. Walau bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan berhubung cadangan pindaan tersebut. 1 Seksyen 304A Kanun Keseksaan: Menyebabkan kematian dengan cuai: Barang siapa menyebabkan kematian seseorang, dengan melakukan apaapa perbuatan gopoh atau cuai yang tidak terjumlah kepada mematikan orang yang salah, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya. 40

Select target paragraph3