BAB 1 - LAPORAN KUMPULAN KERJA PENDIDIKAN DAN PROMOSI 3. HAK ASASI WANITA EWG telah menghasilkan laporan Status Hak Asasi Wanita di Malaysia, yang mengumpulkan hasil perbincangan dan pelbagai program yang telah dijalankan tentang wanita dan hak kepada pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Laporan ini juga menyentuh isu pemerdagangan wanita, gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja dan hak wanita kekurangan peluang merangkumi hak wanita kelainan upaya, hak wanita Orang Asli dan juga hak wanita pekerja asing di Malaysia. Laporan ini menyarankan penggubalan undang-undang untuk memberi kesan kepada Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW). EWG berhasrat untuk terus menyediakan latihan kepada Pegawai Khas Gender (GFP). Pada tahun sebelumnya, latihan telah dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Walau bagaimanapun, Suruhanjaya tidak dapat menjalankan latihan tersebut pada tahun ini disebabkan beberapa masalah dalaman GFP. 4. LATIHAN HAK ASASI MANUSIA KEPADA AGENSIAGENSI PENGUATKUASAAN (a) Latihan untuk Pasukan Polis diRaja Malaysia Program berterusan ini melibatkan 149 orang Ketua Polis Balai (OCS) dari seluruh Kelantan, Terengganu dan Pahang sepanjang bulan Mei hingga Oktober. Wakil dari beberapa organisasi hak asasi manusia telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja yang berkisarkan hak asasi manusia, yang bertemakan polisi dan tanggungjawab seharian seorang OCS. Para peserta turut diminta untuk mendalami isu-isu yang terdapat dalam kajian kes yang diberi, seperti isu dan prosedur yang terlibat dalam menguruskan kematian dalam tahanan, perintah reman, keganasan domestik, keganasan terhadap kanak-kanak, kebebasan untuk berkumpul dan proses soal-jawab. Isu hak asasi manusia yang turut dibincangkan sepanjang bengkel tersebut meliputi hak sewaktu penangkapan dan penahanan, hak sebagai pegawai polis dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai polis. Bengkel tersebut memberi perhatian kepada pendirian Suruhanjaya berkenaan proses penyiasatan. Peserta diingatkan bahawa polis tidak berhak menahan seseorang tanpa bicara kerana ini adalah bertentangan dengan standard hak asasi manusia antarabangsa, dan juga bertentangan dengan prinsip asas hak asasi manusia. Berdasarkan aduan yang diterima, undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 (EO) memberi ruang untuk pelanggaran hak asasi manusia yang berleluasa. Suruhanjaya percaya bahawa setiap manusia mempunyai hak untuk dibicarakan di mahkamah. 31

Select target paragraph3