ISU-ISU UTAMA Pada Januari 2008, Suruhanjaya telah mengetuai satu kajian bersama mengenai pekerja migran yang bertajuk Kajian tentang Pekerja Migran yang Merangkumi Isu dan Masalah Negara-negara Penghantar dan Penerima: Pelaksanaan Perisytiharan ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak-hak Pekerja Migran.1 Antara syor-syor utama yang dikemukakan terhadap Kerajaan Malaysia adalah: • Mengkaji semula undang-undang dan dasar-dasar yang tidak sejajar dengan konvensyen UN dan ILO yang mana Malaysia adalah ahli; • Meminda undang-undang buruh bagi memasukkan “pekerjaan domestik” di bawah rangkuman perundangan; • Meluluskan permohonan daripada Pelapor Khas tentang Hak Asasi Manusia Pekerja Migran untuk membuat lawatan rasmi ke Malaysia; • Melancarkan satu kempen awam untuk membanteras rampasan pasport pekerja-pekerja migran oleh majikan; • Menghapuskan sistem perkhidmatan luar (outsourcing) dan menggantikannya dengan satu sistem yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia; • Memastikan keadaan di pusat-pusat tahanan mematuhi standard hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa; • Menempatkan pegawai kesihatan secara tetap di Pusat-pusat Tahanan Imigresen; • Bekerjasama rapat dengan kerajaan negara-negara penghantar dalam menyelesaikan masalah pekerja migran; • Membentuk rangka kerja perundangan dan dasar yang menyeluruh bagi mengawal selia pengambilan, kemasukan, penempatan, layanan dan penghantaran balik pekerja migran; dan • Membentuk langkah-langkah bagi mengenalpasti pemerdagangan orang di kalangan pekerja migran. 1 Tujuan projek tersebut, yang dikendalikan di bawah SEANF, adalah untuk mengenalpasti situasi pekerja migran dari kedua-dua negara penghantar dan penerima, dan untuk menyokong tindakan-tindakan yang sesuai diambil oleh kerajaan-kerajaan ASEAN dalam menangani isu pekerja migran. Sila rujuk Bab 5 laporan ini untuk butiran mengenai projek ini. 18

Select target paragraph3