ISU-ISU UTAMA Melalui pelbagai penglibatan dengan masyarakat Orang Asal/Asli, Suruhanjaya juga mengenalpasti bahawa masyarakat Orang Asal/Asli mempunyai akses yang terhad kepada pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas yang lain. Selain itu, terdapat keperluan untuk mengiktiraf dan mempromosi sektor pendidikan, kesihatan dan sistem perundangan dari sudut pandangan masyarakat Orang Asal/Asli. (c) Orang Kelainan Upaya (OKU) Kerajaan telah meratifikasi Konvensyen mengenai Hak Orang Kelainan Upaya (CRPD) pada bulan Julai. Suruhanjaya telah mengkaji semula peruntukan-peruntukan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mendapati bahawa tiada sebarang percanggahan di antara CRPD, Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Dasar Negara. Namun, Suruhanjaya berpendapat perlunya satu akta yang komprehensif bagi mencerminkan Konvensyen tersebut dan merangkumi kesemua hak OKU. Pada masa yang sama, Suruhanjaya berpendapat bahawa terdapat keperluan pada semua agensi Kerajaan untuk melaksanakan garis panduan dan undang-undang kecil sedia ada berkenaan OKU bagi memastikan mereka mendapat akses terhadap kemudahan yang disediakan Kerajaan. Berdasarkan Artikel 33(2) CRPD, Suruhanjaya berharap Kerajaan akan memberi perhatian terhadap syor Suruhanjaya untuk Mekanisme Pemantauan Nasional (NMM) memainkan peranan dalam memerhati pelaksanaan Konvensyen ini. (d) Lesbian, Gay, Bi-Seksual dan Transgender (LGBT) Suruhanjaya amat bimbang akan aduan yang kerap diterima mengenai pencabulan hak asasi ke atas golongan seksual minoriti, iaitu kumpulan lesbian, gay, bi-seksual dan transgender (LGBT). Terdapat banyak dakwaan bahawa mereka sering dibuli, dimalukan dan dianiaya disebabkan orientasi seksual mereka. Suruhanjaya menegaskan bahawa sebagai manusia, hak asasi mereka harus dihormati dan dipertahankan. Tidak ada sebarang alasan untuk golongan ini dianiaya, walaupun tindakan mereka sebagai LGBT dianggap berbeza dan tidak dapat diterima ramai. (e) Pekerja Migran, Pencari Suaka dan Orang Pelarian (i) Hak-Hak Pekerja Migran Berdasarkan kajian Suruhanjaya, masalah-masalah utama yang dihadapi oleh pekerja migran adalah buruh paksaan, waktu bekerja yang tidak menentu, pembayaran gaji yang tidak lengkap dan tidak menentu, keadaan tempat tinggal yang daif, penderaan fizikal, psikologi dan seksual, gangguan oleh anggota penguatkuasa undang-undang, penafian hak untuk menyertai atau menubuhkan kesatuan, yuran pemprosesan yang sangat tinggi, kontrak kerja, pengambilan pekerja menggunakan khidmat luar dan pertikaian/prosiding mahkamah. 17

Select target paragraph3