ISU-ISU UTAMA
7. HAK-HAK GOLONGAN RENTAN
(a) Wanita dan Kanak-kanak
Suruhanjaya mengalu-alukan langkah Kerajaan menarik balik reservasi kepada Artikel 5(a), 7(b) dan
16(2) Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan
Artikel 1, 13 dan 15 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada bulan Julai. Suruhanjaya
akan terus memantau pelaksanaan kedua-dua Konvensyen ini dan akan berusaha keras dalam
penarikan balik reservasi selebihnya terhadap CEDAW and CRC.
Isu pembuangan bayi telah meningkatkan kebimbangan semua lapisan masyarakat. Wanita
mempunyai hak untuk melahirkan bayi tanpa mengira persepsi negatif orang awam atau berasa
takut terhadap undang-undang yang menjadikan perlakuan pembuangan bayi sebagai satu kesalahan
jenayah. Suruhanjaya berpendapat bahawa hak wanita dan kanak-kanak perlu dipertahankan dan
akan terus bekerjasama dengan agensi yang berkenaan serta badan bukan Kerajaan dalam perkara
ini.
Suruhanjaya juga menyokong penuh langkah-langkah yang diambil Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam mengumpul maklumat untuk undang-undang
Kesaksamaan Gender. Suruhanjaya berharap agar cadangan undang-undang baru ini akan dapat
melindungi hak-hak wanita di Malaysia.
Dalam memerhati dan memantau pelaksanaan Kerajaan terhadap kedua-dua Konvensyen CEDAW dan
CRC, Suruhanjaya sedang melaksanakan beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa
CEDAW dan Jawatankuasa CRC untuk mengukuhkan perlindungan hak wanita dan kanak-kanak.
(b) Orang Asal/Asli
Isu tanah merupakan isu paling utama selepas isu berkaitan kewarganegaraan dan kedua-dua
aduan ini diterima kebanyakannya daripada masyarakat Orang Asal/Asli. Tuduhan yang lebih serius
adalah berkenaan pelanggaran hak ke atas tanah adat yang dituntut sama ada sebagai harta
individu atau harta kolektif. Aduan lain termasuk diskriminasi; perkosaan gadis dan wanita Penan di
Sarawak; peluang terhad bagi masyarakat Orang Asal/Asli untuk menentukan keutamaan terhadap
pembangunan mereka sendiri; dan kurang penglibatan efektif dalam proses membuat keputusan
yang mempengaruhi tanah dan cara hidup mereka.
16