ISU-ISU UTAMA
5. ANTI-PEMERDAGANGAN ORANG
Suruhanjaya mengalu-alukan pindaan ke atas Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007 (ATIP), dengan
mengambil kira situasi terkini di Malaysia. Namun demikian, Suruhanjaya memandang berat akan
pindaan Akta tersebut yang turut merangkumi penyeludupan migran. Pemerdagangan orang dan
penyeludupan migran harus dilihat sebagai dua isu berlainan, bagi mengelakkan kekeliruan dalam
mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang. Pencabulan hak asasi akan berlaku sekiranya mangsa
pemerdagangan orang dikenal pasti sebagai migran yang diseludup, yang mungkin mengakibatkan
mangsa dihantar pulang ke negara asal, atas kesalahan melanggar undang-undang imigresen.
Sebaliknya, migran yang diseludup pula mungkin akan mendapat perlindungan yang sepatutnya
tidak diberikan kepada mereka di rumah perlindungan.
6. PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
Kebanyakan aduan terhadap polis adalah berkenaan dakwaan ketiadaan tindakan polis dalam
menjalankan siasatan, dakwaan penggunaan kekerasan melampau semasa soalsiasat dan
penyalahgunaan kuasa dalam prosedur reman. Sebahagian situasi ini timbul daripada persepsi
masyarakat bahawa tiada sebuah badan di dalam sistem yang digunapakai sekarang mempunyai
kuasa untuk mengawalselia perlakuan anggota-anggota polis. Sehubungan itu, Suruhanjaya
mengulangi pendiriannya supaya satu badan bebas ditubuhkan bagi melaksanakan fungsi ini.
Adalah juga penting dinyatakan bahawa satu seksyen dalam Kanun Prosedur Jenayah tidak
digunakan sepenuhnya oleh orang awam untuk menuntut hak mereka atas dakwaan kegagalan
polis menjalankan siasatan. Di bawah Seksyen 107A Kanun Prosedur Jenayah, pengadu berhak
mendapat status laporan siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya daripada Ketua Balai Polis
yang berkenaan, tertakluk kepada beberapa pengecualian yang terdapat di bawah seksyen tersebut.
Penggunaan seksyen ini akan memastikan polis memberi perhatian sewajarnya terhadap aduan-aduan
yang dilaporkan kepada mereka.
Kematian beberapa individu akibat tembakan pihak polis telah dipaparkan secara meluas dalam media
pada tahun ini. Suruhanjaya berpendapat bahawa senjata api hanya boleh digunakan oleh polis untuk
mempertahankan diri dan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai penggunaan senjata api dan
melepaskan tembakan harus dikaji semula. Pihak polis wajar menggunapakai Kod Etika Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Anggota Penguatkuasa Undang-Undang 1979 dan Prinsip-Prinsip Asas
tentang Penggunaan Kuasa dan Senjata Api oleh Anggota Penguatkuasa Undang-Undang 1990 di
dalam melaksanakan tugas mereka.
15