ISU-ISU UTAMA ISU-ISU UTAMA Dengan keanggotaan baru yang memulakan tugas pada 26 April, Suruhanjaya mengekalkan hala tujunya dalam menegakkan hak asasi manusia di Malaysia secara amnya dan golongan rentan, khususnya. Penahanan arbitrari dan penguatkuasaan undang-undang merupakan antara isu yang masih menjadi perhatian. 1. KAJIAN SEMULA UNDANG-UNDANG PENAHANAN PENCEGAHAN Peruntukan undang-undang yang membenarkan penahanan pencegahan, seperti Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih menjadi isu tumpuan Suruhanjaya. Suruhanjaya berkongsi sentimen awam terhadap penahanan tanpa bicara, yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 9, 10 dan 11 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Penggunaan undang-undang tersebut kononnya untuk menjamin keselamatan negara adalah pelanggaran serius terhadap hak kebebasan seseorang. Suruhanjaya amat konsisten dalam saranannya untuk mengkaji semula atau memansuhkan undang-undang penahanan pencegahan serta menggubal undang-undang baru yang berfungsi sebagai undang-undang keselamatan yang mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia. Sebarang pindaan perlu memastikan, antara lain, hak kepada perbicaraan yang adil dan hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga didapati sebaliknya di mahkamah. 2. KEBEBASAN BERHIMPUN Suruhanjaya menyedari bahawa terdapat beberapa permohonan permit untuk menganjurkan perhimpunan aman ditolak atau hanya diberikan kepada kumpulan tertentu sahaja. Suruhanjaya berpendapat bahawa walaupun Polis DiRaja Malaysia mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan permohonan mengadakan perhimpunan awam, ia harus bertindak secara adil, bebas dan profesional dalam menghormati hak setiap warganegara. Penolakan ringkas permohonan tanpa alasan, walaupun sah dari sudut perundangan, tidak selari dengan maksud penguatkuasaan yang terkandung dalam Akta Polis 1967. Sehubungan itu, Suruhanjaya menyeru pemansuhan subseksyen (2), (2A)-(2D), (4), (4A), (5), (5A)-(5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967 dan mengesyorkan agar polis menggunakan cara yang sederhana dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan sesuatu perhimpunan. 13

Select target paragraph3